RAKYAT Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu untuk mengelak jangkitan Covid-19 walaupun selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir, kata pakar.
Ini termasuk larangan perhimpunan beramai-ramai, mengekalkan penjarakan sosial, memakai topeng muka dan membasuh tangan meskipun kes jangkitan mencecah sifar, tambah mereka.
“Walau PKP tiada, kita tidak boleh berfikir bahawa kehidupan akan kembali normal. Tidak, itu tidak akan berlaku, terutamanya bagi mereka yang berada dalam industri penjagaan kesihatan,” kata Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman.
“Ini kerana wabak berisiko tinggi menular semula. Kalau kita teruskan perhimpunan beramai-ramai dan tidak mengamalkan kebersihan, semua usaha selama ini jadi sia-sia.
“Setiap orang mesti ingat bahawa virus ini masih ada, kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga.”
Adeeba berkata demikian pada webinar (seminar secara online) anjuran Research for Social Advancement (REFSA) hari ini.
Turut sama menyertai webinar tersebut adalah Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Markas ATM, Lt Jeneral Dr Md Amin bin Muslan dan Pengasas Bersama Yayasan Geutanyoe, Lilianne Fan. Moderator webinar pula ialah Pengarah Penyelidikan REFSA, Ivy Kwek.
Mengenai bilakah PKP akan ditamatkan, Adeeba berkata: “Itu susah nak cakap. Ada banyak sudut yang perlu dilihat. Ada yang cadangkan PKP ditamatkan selepas tiada kes positif dalam tempoh dua minggu. Ada pula yang kata kurang dua minggu.”
Adeeba berkata vaksin dijangka ditemui sekurang-kurangnya dalam 12 hingga 18 bulan lagi. – 22 April, 2020.
Komen