KEMENTERIAN Kesihatan akan menasihatkan perdana menteri sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan atau sebaliknya Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, ia akan dilakukan dua atau empat hari sebelum tamat tempoh fasa ketiga pada 28 April.
“Dua atau tiga hari atau mungkin empat hari sebelum itu kita akan nasihatkan perdana menteri berdasarkan model, fakta dan angka yang kami ada,” katanya pada sidang media harian berhubung situasi Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Ia adalah keputusan perdana menteri sama ada mahu melanjutkan atau tamatkannya,” tambahnya.
Dr Noor Hisham turut mengulangi bahawa enam kriteria diambil kira sebelum menamatkan PKP.
PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac dan dijadualkan selama dua minggu.
Bagaimanapun ia dilanjutkan dua kali dan akan tamat pada 28 April. – 22 April, 2020.
Komen