KLUSTER Covid-19 dikesan di Pengerang Johor, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Kes indeks (kes 1,508) bagi kluster ini mula mengalami gejala sejak 12 Mac, 2020.
“Pesakit dirawat kerana demam denggi di klinik swasta pada 16 Mac, 2020,” katanya pada sidang media harian Kementerian Kesihatan mengenai Covid-19 hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, pesakit indeks berkenaan melawat saudara di Selangor pada 17 Mac, dan kembali ke Pengerang pada hari berikutnya.
Pesakit itu kemudian dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor, pada 20 Mac dalam keadaan kritikal dan disahkan positif Covid-19 pada 22 Mac.
Sepuluh rakan dan lima ahli keluarga pesakit terbabit turut disahkan positif Covid-19.
Daripada jumlah itu, tujuh masih menerima rawatan, manakala lapan lagi pulih dan dibenarkan pulang.
Ibu pesakit berkenaan yang berusia 79 tahun serta anak perempuannya berusia 10 tahun turut dijangkiti virus itu.
Sementara itu, tiga pesakit daripada kluster berkenaan kini sedang dirawat di unit rawatan rapi.
“Jangkitan terhadap ahli keluarga di negeri lain dipercayai berlaku ketika pesakit indeks melawat mereka sehari sebelum pelaksanaan PKP,” katanya.
Malaysia hari ini melaporkan 50 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini 5,532.
Jumllah kematian akibat virus berkenaan kekal 93 orang. – 22 April, 2020.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Mohd Rafi'uddin Hamidon · Ulasan