KERAJAAN sedang menimbang untuk memperkenalkan perlindungan sementara kepada pemaju bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang susulan penangguhan projek pembinaan ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Infrastruktur Fadillah Yusuf.
Katanya, perlindungan force majeure atau keadaan di luar jangkaan itu dipohon oleh syarikat pemaju perumahan yang tidak mempunyai klausa berkenaan dalam perjanjian sedia ada.
“Kita sudah pun berbincang di Kabinet, salah satu mungkin yang akan dibentangkan di Parlimen ialah untuk memperkenalkan undang-undang langkah sementara… bagaimana dapat tangani berhubung kait dengan persoalan perundangan ini.
“Sama ada pihak boleh menuntut atau adakah tambahan (tempoh) automatik akan diberikan kepada mereka yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka bawah perjanjian,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini, yang disiarkan secara langsung melalui media sosial.
Di bawah perjanjian pembinaan, pemaju ditetapkan perlu menyelesaikan projek dalam tempoh tertentu dan sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan tindakan termasuk ganti rugi kepada pemilik projek atau pembeli.
“Persatuan pemaju perumahan menuntut kerajaan melihat perkara ini sebab perjanjian mereka tidak mengandungi peruntukan force majeure ini,” tambahnya.
Jelas Fadillah, pemaju memohon campur tangan kerajaan kerana ada persoalan sama ada mereka akan dikenakan tindakan susulan kelewatan yang berpunca daripada PKP, yang bermula lebih sebulan lalu.
Katanya, PKP yang dikenakan susulan penularan Covid-19 adalah sesuatu yang berlaku di luar kawalan.
“PKP diletakkan untuk hentikan segalanya untuk memastikan tidak menularnya Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Fadillah juga berkata, hanya 1,856 syarikat kontraktor dibenarkan beroperasi daripada 19,000 yang memohon.
“Kenapa ada yang tidak diluluskan… kerana mereka tidak beri maklumat projek yang ada, tidak lengkapkan jumlah pekerja yang akan bekerja, dan sebagainya.
“Ada juga yang memohon tapi syarikat tidak berdaftar dengan CIDB,” kata Fadillah lagi.
Katanya, sejumlah 7,387 permohonan yang gagal boleh mengemukakan rayuan, sementara baki 8,000 permohonan sedang dinilai.
Sektor pembinaan mula dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP yang memasuki fasa ketiga sejak 14 April dan tamat pada 28 April.
Fadillah berkata, terdapat beberapa kriteria yang diperlukan sebelum syarikat pembinaan dibenarkan beroperasi, antaranya kerja di tapak pembinaan harus 90% siap.
“Maknanya kerja tinggal 10% lagi nak disiapkan. Jadi ini pun tidak melibatkan ramai pekerja.
“Seterusnya kerja oleh kontraktor G1 dan G2. Syarikat kecil, kerja yang kecil, ini dibenarkan. Juga kerja kritikal yang kalau tidak dilaksanakan boleh mengundang bahaya kepada orang ramai dari segi keselamatam diri, nyawa, dan juga kesihatan.
“Ini termasuklah penyelenggaraan bangunan dan membersihkan kawasan pembinaan supaya nyamuk aedes tak membiak dan haiwan lain boleh mengganggu kehidupan kita,” kata Fadillah lagi.
Selain itu, golongan profesional yang terlibat dalam projek pembinaan turut dibenarkan bekerja.
“Bukan semua kerja pembinaan dibenarkan hanya beberapa sektor supaya kita dapat imbangi untuk boleh laksana kerja tertentu, bukan semua,” tambahnya. – 22 April, 2020.
Komen