50 kes baharu Covid-19, seorang lagi maut


Ragananthini Vethasalam

Seorang pekerja kesihatan meletakkan sampel ke dalam tabung uji semasa ujian saringan komuniti untuk Covid-19 di Kapar, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

MALAYSIA hari ini merekodkan 50 kes baharu Covid-19 dengan bilangan kes didiscaj hari ini lebih dua kali ganda bilangan kes dilaporkan, kata Dr Noor Hisham Abdullah. 

Ketua Pengarah Kesihatan berkata bilangan kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 5,532.

“Sebanyak 103 kes sudah pulih menjadikan mereka yang sudah keluar dari hospital seramai 3,452 orang.

“Seramai 43 pesakit berada dalam unit rawatan rapi (ICU) di mana 25 daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya. 

Menurutnya, seorang lagi mangsa maut akibat virus berkenaan menjadikan jumlah kematian seramai 93 orang.

“Mangsa yang meninggal dunia merupakan wanita berusia 72 tahun yang menghidap kanser dan tekanan darah tinggi.

“Dia dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 20 April dan meninggal dunia pada jam 9.15 pagi tadi,” katanya. – 22 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen