TINDAKAN tiga individu cuba menyogok pihak berkuasa yang bertugas di barisan hadapan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata dua daripada mereka merupakan warga Pakistan yang ditahan di Sabah, manakala kejadian kedua berlaku di Johor.
“Dalam kes pertama, dua warga Pakistan ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7,000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.
“Kes kedua pula, seorang peniaga ditahan kerana dipercayai merasuah pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM500 di Kluang, Johor sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, SPRM menerima 286 maklumat dan 22 aduan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan sejak 18 Mac lepas sehingga semalam.
“Kedua-dua kes terbaru ini menunjukkan aktiviti haram seperti penyeludupan terus berlaku selain terdapat premis perniagaan yang dibuka tanpa kebenaran walaupun dalam tempoh PKP berkuat kuasa.
“Perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti ini secara tidak langsung turut mendorong kepada perbuatan rasuah,” katanya.
SPRM turut mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa barisan hadapan atas ketegasan yang dipamerkan sepanjang pelaksanaan PKP ini.
“Kami merakamkan syabas dan tahniah kepada pihak berkuasa di barisan hadapan kerana ketegasan yang ditunjukkan terhadap penjenayah dan perasuah,” katanya.
Tegas SPRM lagi, pihaknya akan terus menjalankan siasatan walaupun dalam keadaan terbatas dengan berpandukan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan.
“Pejabat-pejabat SPRM di seluruh negara tetap dibuka dan terdapat pegawai ditugaskan secara bergilir-gilir dengan bilangan minimum bagi mengambil tindakan terhadap maklumat yang diterima,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 22 April, 2020.
Komen