Khidmat hantar ke rumah penyelamat perniagaan


Ravin Palanisamy

Makanan laut antara yang mendapat permintaan untuk dihantar ke rumah pelanggan sepanjang PKP susulan kesukaran untuk ke pasar basah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2020.

BANYAK perniagaan menyusun semulai strategi operasi untuk kelangsungan hidup dan terus bertahan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), termasuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu, menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah sementara rakyat Malaysia duduk di rumah.

Selain syarikat logistik dan penyedia perkhidmatan penghantaran makanan, sebahagian pemilik perniagaan juga beralih kepada sistem penghantaran untuk kekal berhubung dengan pelanggan.

The Malaysian Insight menemu bual beberapa perniagaan yang mula membuat penghantaran ke rumah dan mendapati mereka agak positif walaupun berdepan cabaran di peringkat awal.

Malah ada yang berkata mereka akan meneruskan perkhidmatan penghantaran ke rumah walaupun selepas tamat PKP.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, yang setakat ini merekodkan 5,482 kes jangkitan dan 92 kematian.

Fasa ketiga PKP akan tamat pada Selasa depan.

Pembekal sayur, Everfresh Cameron Sdn Bhd yang selama ini menghantar produk mereka ke restoran, berkata ia mengambil peluang pada PKP untuk memulakan perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Jurucakapnya yang mahu dikenali sebagai Lau,  berkata permintaan untuk sayuran pada minggu pertama PKP melonjak menyebabkan tempahan sangat banyak.

Namun katanya, dengan semakin banyak syarikat melakukan perkhidmatan serupa pada masa ini, keadaan lebih baik dan dapat diuruskan dengan lebih sempurna.

“Masa kami mulakan perkhidmatan penghantaran, terlalu banyak tempahan dan soalan kerana orang ramai membuat pembelian panik.

“Memandangkan situasi kini sudah tenang dan ada juga syarikat lain buat penghantaran, keadaan lebih mudah diuruskan sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dengan adanya khidmat penghantaran ke rumah, orang ramai tidak perlu lagi keluar membeli barangan, hanya perlu buat pesanan, dan tunggu barangan tiba di rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

Lau berkata antara cabaran dihadapi ialah berkaitan pembungkusan dan penghantaran barangan.

Katanya, pembungkusan untuk dihantar ke restoran dan rumah persendirian amat berbeza dan melakukan penghantaran ke rumah memerlukan pemandu ada pengetahuan tentang laluan, apatah lagi perlu meliputi kawasan lebih luas.

“Pemandu dan pekerja kami menyesuaikan diri dengan tugasan yang mula berubah pada fasa pertama. Sekarang mereka tahu bagaimana caranya untuk menghantar barangan menggunakan kaedah paling cepat,” kata Lau, menambah polis yang berkawal di sekatan jalan raya, sangat memahami dan memberi kerjasama.

S. Vicknes, 33, dari Nilai, Negeri Sembilan berkata beliau beralih ke perkhidmatan penghantaran ke rumah kerana cuba untuk menampung kerugian daripada perniagaan pengangkutan yang merosot sejak PKP bermula.

Sekarang beliau menghantar makanan laut segar. Pada mulanya tempahan diterima daripada penduduk di kawasan perumahannya, kini tempahan mula meluas ke kawasan berdekatan.

“Di Nilai, ada satu saja pasar basah dan dengan PKP, orang ramai tidak dapat beli barangan yang diperlukan,” kata Vickness kepada The Malaysian Insight.

“Ada yang sukar untuk keluar rumah. Memandangkan saya ada kenderaan, saya fikir ini peluang yang baik untuk memulakan perniagaan ini.

“Saya sebelum ini biasa beli barangan untuk kegunaan sendiri, kemudian ada permintaan daripada jiran bila PKP dikuatkuasakan.”

Katanya, perkhidmatan yang ditawarkannya itu dengan cepat tersebar di kawasan perumahan lain di Nilai dan respons diterimanya amat baik.

Beliau perlu membeli stok setiap dua hari daripada pembekal tempatan.

“Polis di sekatan jalan raya juga sangat memahami. Mereka periksa dokumen saya dan barangan yang saya bawa. Bila mereka lihat ia makanan laut, mereka akan benarkan saya lalu,” katanya.

Bagi Mohd Hafiz Rozali, 20, dari Skudai, Johor, perkhidmatan penghantaran ke rumah ketika PKP menjadi pilihan tambahan kepada keluarganya yang memang terbabit dalam perniagaan makanan laut.

Hafiz berkata beliau mendapatkan stok daripada ibunya yang juga peniaga makanan laut di pasar basah di Skudai.

Katanya, orang ramai lebih selesa membuat tempahan barangan dari rumah dan menunggu barangan sampai terus di rumah masing-masing.

“Sejak kami mula buat penghantaran ke rumah dari minggu pertama PKP, kami buat purata 25 penghantaran sehari.

“Kami ada pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu, dan di kawasan berbeza. Kami ada pelanggan di Senai, Kulai, Pasir Gudang dan Ulu Tiram. Jadi, kami kenakan sedikit caj penghantaran,” katanya.

Katanya, beliau tidak perlu menggajikan pemandu untuk menghantar barangan kerana beliau dan tiga lagi adik beradiknya akan melakukan penghantaran. – 23 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen