Peniaga kelam-kabut edar sayur selepas Pasar Borong KL diarah tutup


Sheridan Mahavera Khoo Gek San

Pasar Borong KL di Selayang adalah hab logistik dan pengedaran sayur-sayuran Lembah Klang. Penutupannya dijangka menjejaskan bekalan sayuran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

PEMBORONG sayur di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kelam-kabut mencari jalan alternatif untuk mengedarkan barangan yang sudah ditempah awal bagi mengelak kerugian.

Pasar itu diarah tutup sehingga Khamis untuk proses sanitasi dan kawasan sekitarnya pula diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat sehingga 3 Mei.

Peniaga sayur terlibat memberitahu The Malaysian Insight yang mereka sudah memesan lebih awal sayur-sayuran dari petani Cameron Highlands dan produk import dari Thailand sejak minggu lepas sebelum menerima notis arahan tutup pada Isnin.

Sebelum itu, mereka dimaklumkan pasar hanya akan ditutup untuk proses sanitasi pada Isnin, tetapi kemudiannya diberitahu proses akan berlanjutan sehingga Jumaat.

Mereka mendakwa kerugian dialami kerana penutupan pasar itu dianggarkan mencecah antara RM10 juta sehingga RM15 juta.

Semalam, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaacob berkata pasar itu akan ditutup sehingga Khamis untuk proses sanitasi, berbeza dengan kenyataan kelmarin yang membenarkan pasar di buka walaupun berada dalam kawasan PKPD.

Ismail Sabri bagaimanapun menegaskan pasar itu tidak diletakkan di bawah PKPD.

Pasar Borong KL di Selayang adalah hub logistik dan pengedaran sayur-sayuran segara untuk Kuala Lumpur dan sebahagian Selangor.

Pasar Borong KL membekalkan hampir 80% bekalan sayur-sayuran di Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata mereka tidak diberikan masa mencukupi untuk mengurangkan tempahan daripada petani tempatan dan pengeksport di Thailand.

“Sayur dari Thailand perlu ditempah beberapa hari lebih wal dan kami tak cukup masa untuk kurangkan tempahan,” kata Wong merujuk kepada jadual penerimaan tempahan yang dipatuhi peniaga pasar itu.

Beberapa ahli persatuan sudah mengatur supaya sayur-sayuran dari Cameron Highlands dihantar terus kepada pasar kecil, pasar raya kecil dan kedai runcit di sekitar Lembah Klang.

Manakala, ada ahli yang berusaha menyimpan lebihan barangan mereka dalam bilik sejuk, kata Wong.

Peniaga tidak sempat mengurangkan tempahan sayur dari Cameron Highlands dan Thailand kerana tempoh diberikan untuk penutupan terlalu singkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

Peniaga yang sudah menghantar semua tempahan pula menghentikan operasi sehingga Jumaat apabila pasar itu mula dibuka semula.

“Ramai peniaga yang sudah mula menghentikan operasi sehingga Khamis. Malah kalau kami mula berniaga kembali pada Jumaat, kami hanya boleh beroperasi pada separuh kapasiti kerana jumlah pekerja kurang.”

Hanya rakyat Malaysia dibenarkan masuk ke pasar pada Jumaat, dan semua warga asing yang menetap di Selayang diarahkan menjalani kuarantin diri sehingga 3 Mei.

“Bila PKP mula beroperasi (pada Mac) kami sudah mengurangkan pekerja kepada tiga orang satu gerai. Sekarang, jika hanya boleh ada pekerja Malaysia, tidak cukup orang untuk bungkus dan angkat sayur, jadi kami akan beroperasi pada separuh kapasiti sahaja.”

Peniaga sudah memberi amaran yang penutupan pasar selama empat hari akan menyebabkan kekurangan bekalan sayur-sayuran di Lembah Klang minggu depan.

Pasar Borong KL di Selayang diarah tutup sehingga Khamis untuk proses sanitasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

Pasar borong dan pasar basah lain di Kuala Lumpur dan Selangor menerima 80% bekalan produk daripada Pasar Borong KL di Selayang.

Kekurangan bekalan itu dijangka menaikkan harga sayur dan ikan.

Selain peniaga di Lembah Klang, Wong berkata peniaga Pasar Borong KL di Selayang juga merupakan pengedar sayur untuk kawasan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PKPD dikuatkuasa pada Isnin di lapan kawasan sekitar Pasar Borong KL di Selayang itu selepas 28 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja dan penduduk kawasan itu.

Pengurungan penuh itu dibuat bagi membolehkan 15,000 penduduk kawasan itu menjalani saringan Covid-19 yang setakat ini sudah menjangkiti 5,482 orang dan membunuh 92 orang di seluruh Malaysia.

Chong Tek Keong daripada Persatuan Pemborong Sayur Malaysia berkata ahli persatuan mula bimbang selepas tujuh peniaga dan beberapa orang pekerja asing di pasar itu disahkan positif Covid-19.

“Ramai ahli persatuan takut hendak berniaga kerana bimbangkan keselamatan. Tetapi, kami bekerja juga kerana kami adalah sebahagian daripada rantaian makanan negara dan petani bergantung harap kepada kami untuk menjual hasil tanaman mereka.”

Chong berkata pasar raya besar seperti Tesco, Giant dan NSK berkemungkinan besar dapat mengekalkan bekalan kerana mereka membeli secara terus daripada petani. – 22 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen