Mana ada gaduh dengan Prabakaran, kata timbalan menteri


Kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kini diletakkan di bawah PKPD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2020.

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara menafikan dakwaan yang beliau bergaduh dengan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran sebelum wakil rakyat itu ditahan polis semalam.

Katanya, Prabakaran memasuki pusat operasi di Selayang yang kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat ketika pelbagai agensi sedang membincangkan data sulit, lapor Malaysiakini.

Santhara berkata hanya pihak yang mempunyai kebenaran maklumat sulit seperti menteri, timbalan menteri, pegawai Majlis Keselamatan negara, anggota polis dan tentera boleh hadir mesyuarat itu.

“(Ketika itu) YB (Prabakaran) datang buka pintu terus masuk kerana ketika itu saya belum tamatkan mesyuarat dan belum mula mesyuarat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya minta dia tunggu di luar.

“YB (Prabakaran) kemudian tinggikan suara, terus saya berkata boleh YB (Prabakaran) tunggu sebentar di luar dan biar saya habiskan mesyuarat”.

“Adakah itu boleh dikatakan sebagai pertelingkahan,” katanya dipetik berkata.

Santhara juga berkata Prabakaran tidak sepatutnya memuatnaik video kejadian kerana terdapat ramai saksi yang boleh mengesahkan apa yang sebenarnya berlaku di tempat kejadian.

Dalam video dimuat naiknya, Prabakaran mendakwa beliau diusir dari pusat operasi itu.

Santhara berkata beliau tidak berhasrat membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang ke atas Prabakaran, tetapi tetap akan mendapatkan nasihat daripada peguam kerana video dimuat naik Prabakaran baginya bersifat memfitnah dan mengelirukan orang ramai.

“Ketika PKP, saya rasa (patutnya) kerajaan dan pembangkang perlu bersatu untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya.

Prabakaran ditahan selepas melawat kawasan perwakilannya di Apartment Seri Murni, Selayang yang kini di bawah PKPD.

Dilaporkan yang Prabakaran ditahan polis selepas “bergaduh” dengan Santhara.

Ahli Parlimen Batu itu dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 9 malam semalam, empat jam selepas ditahan dan dibawa ke IPD Sentul.

Beliau kini sedang disiasat kerana melanggar PKP dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh dikenakan hukuman sehingga penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit bersalah. – 21 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen