MALAYSIA melaporkan hanya 57 kes baharu Covid-19 hari ini tetapi ada tiga kematian, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini adalah hari kelima berturut-turut negara melaporkan puluhan kes jangkitan baharu harian setelah berminggu melaporkan ratusan kes harian.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Malaysia sebanyak 5,482 kes.
Tambahnya, 54 kes pula dilaporkan pulih membawa kepada jumlah pesakit pulih seramai 3,349 orang.
Manakala, 43 pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Tiga kematian terbaru pula dilaporkan membawa kepada jumlah korban wabak di Malaysia setakat ini ialah 92 orang.
Menurut Dr Noor Hisham, kematian pertama melibatkan seorang wanita berusia 72 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 27 Mac dan meninggal dunia jam 1.47 petang hari ini. Beliau adalah ibu kepada pesakit kes 2053. Beliau mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Tambahnya, kematian kedua adalah seorang lelaki berusia 69 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 6 April dan meninggal dunia jam 2.28 pagi hari ini. Beliau mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kegagalan buah pinggang.
Manakala, kematian ketiga hari ini melibatkan seorang lelaki berusia 92 tahun yang merupakan kontak rapat kes 4711, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 8 April lalu dan meninggal dunia jam 1.30 pagi tadi. Beliau mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan dementia. – 21 April, 2020.

Komen