Prabakaran didakwa halang tugas polis, ingkar PKP


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran berdepan hukuman penjara 2 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan bersalah.

AHLI Parlimen Batu P. Prabakaran ditahan semalam kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata sumber polis.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Prabakaran disiasat mengikut Seksyen Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 186 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Prabakaran berdepan hukuman penjara 2 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan bersalah.

Beliau ditahan semalam ketika membuat tinjauan di apartment Sri Murni di Selayang, Kuala Lumpur yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pembantunya memberitahu The Malaysian Insight Prabakaran ke sana selepas menerima aduan daripada penduduk bahawa mereka masih tidak menerima bantuan.

“Kalau bukan sebab terima aduan, beliau tak akan ke sana,” kata pembantunya, Arvind Raj.

Prabakaran semalam dilaporkan ditahan polis selepas bertengkar dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar yang kebetulan berada di sana.

Ahli Parlimen Batu itu dibebaskan jam 9 malam semalam, empat jam selepas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada sidang media semalam berkata lapan kawasan melibatkan kawasan komersial Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur serta perumahan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur diletakkan di bawah PKPD sehingga 3 Mei.

Ismail Sabri berkata penguatkuasaan itu dilaksanakan supaya pengesanan kes dan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk dapat dijalankan sepanjang PKPD.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata 28 kes dan satu kematian dikesan di kawasan PKPD itu dan sebanyak 2,064 sampel telah diambil dari penduduk. – 21 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen