AHLI Parlimen pembangkang mengadu terpaksa mencari dana alternatif kerana tidak menerima bantuan bencana Covid-19 dalam bentuk bakul makanan yang dijanjikan kepada penerima kawasan mereka.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan berkata mereka terpaksa mengumpul dana dari elaun sendiri dan sumbangan orang ramai kerana bakul makanan itu tidak disalurkan dari kerajaan seperti dijanjikan.
Antaranya, seorang wakil rakyat DAP, Charles Santiago yang berkata beliau hanya dapat menggerakkan bantuan kepada penduduk Klang yang diwakilinya daripada sumbangan rakan-rakan.
“Mereka banyak menderma. Dengan duit itu kita beli barang dapur kering. Agihan sayur di beberapa kawasan sekitar Klang ini hasil sumbangan juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Klang antara kawasan di bawah parlimen pembangkang yang masih tidak menerima bakul makanan, yang didakwa berpunca daripada tindakan terpilih kerajaan.
Pembangkang mendakwa kerajaan memilih bulu dan mengawal agihan 1,000 bakul makanan yang dijanjikan untuk setiap kawasan Parlimen itu kepada wakil rakyat mereka
Ini menyebabkan sekurang-kurangnya 54 kawasan pembangkang yang masih belum menerima sebarang bantuan tersebut, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Turut mengkritik tindakan tersebut Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa wujud campur tangan politik secara berlebihan dalam isu tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Rina Harun pula mendakwa tiada pihak yang tertinggal dalam mendapat bantuan sepanjang pelaksanaan PKP.
Namun menurut Santiago, bakul makanan tersebut sememangnya hilang dan tidak sampai ke penerima kawasannya yang kini berdepan keadaan yang semakin sukar dan terdesak.
Malah, jumlah 1,000 bakul makanan itu juga tidak mencukup untuk menampung kesemua keluarga yang terkesan kesan daripada lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan, katanya.
Main politik agih bantuan, rakyat yang terima kesan
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah pula berkata sebanyak 150 bakul makanan diedar di kawasannya, sangat sedikit berbanding 1,000 yang dijanjikan.
Pemimpin PKR itu berkata beliau bagaimanapun menganggap kawasannya bertuah kerana ada kawasan Parlimen yang tidak menerima sebarang bakul makanan, dan kesannya rakyat menderita.
“Ramai sebenarnya ahli Parlimen pembangkang yang tak diberi bakul makanan. Saya antara yang bertuah sebab dapat juga pengagihan sebanyak 150 pek makanan biarpun tidak cukup sebenarnya.”
Bagi menampung kekurangan itu, beliau aktif mengerakkan kempen meraih dana dari orang awam selain beberapa menerima beberapa penajaan seperti minuman, telur dan sayur.
“Sejak 20 Mac lalu saya edarkan hampir 3,000 bantuan makanan daripada dana orang awam selain apa yang saya dapat dari JKM.
“Tapi bukan semua ahli Parlimen yang dapat lakukan kempen kumpulkan dana ini. Kalau kerajaan adil ahli Parlimen boleh bantu edarkan pek makanan.
“Tapi bila kamu main politik, yang menerima kesannya ialah rakyat bukan ahli Parlimen,” katanya.
Tegasnya, mereka tiada masalah untuk bekerjasama dengan JKM namun agensi itu perlu mengedarkan bakul makanan mengikut senarai nama yang diberikan pejabat Parlimen kawasan.
“Saya boleh bagi senarai dan JKM edar tak ada masalah tapi ada ahli Parlimen yang beri senarai, tapi bantuan tak diberi, itu yang tidak betul,” katanya.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin juga berpendapat tiada isu jika bakul makanan diedarkan oleh JKM asalkan bantuan itu sampai kepada rakyat.
Hanipa mengesahkan Sepang masih belum menerima bakul makanan tersebut dan beliau kini menggerakkan usaha mengagih bantuan sendiri kepada penduduk kawasannya.
Ahli Parlimen Amanah itu juga menggesa kerajaan mengamalkan polisi yang adil dan tidak berat sebelah dalam mengagih bantuan bakul makanan tersebut.
Seorang lagi, Fahmi Fadzil berkata beliau terpaksa mengguna elaunnya dan membuat kutipan daripada orang ramai untuk sumbangan kepada keluarga yang masih belum menerima bakul makanan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu hanya menerima 250 bakul makanan walaupun 1,000 bakul diperuntukkan mengikut kuota yang dijanjikan.
Beliau juga keliru kerana diberitahu oleh JKM bahawa bakul makanan untuk kawasannya adalah daripada Kementerian Kewangan.
“Tapi saya tetap agihkan 250 bakul makanan walaupun saya sudah sediakan 1,000 senarai nama. Jadi mana yang nama sudah diambil memang terpaksa guna duit sendiri,” kata pemimpin PKR itu.
Fahmi turut mempersoalkan kewajaran kerajaan mengenakan caj RM15 daripada nilai RM100 bagi setiap bakul makanan bencana Covid 19 yang menurutnya sangat tinggi dan tidak wajar.
Beliau berkata jika benar RM15 dicabut dari setiap bakul berharga RM100, sebanyak RM3.33 juta dipotong untuk kos logistik daripada keseluruhan RM 22.2 juta nilai peruntukan bakul makanan.
“Daripada RM100, hanya RM85 ringgit nilai makanan yang diberikan dan RM15 pula dikatakan caj untuk logistik.
“Bagi saya kos tersebut agak tinggi dan itu yang agak menghairankan kita,” katanya. – 21 April, 2020.
Komen