AHLI Parlimen Batu P. Prabakaran mengesahkan beliau ditahan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Parlimennya.
Menurutnya, beliau ditahan selepas meninjau keadaan di apartment Sri Murni di Selayang yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Saya ke sana untuk memastikan kebajikan penduduk selepas menerima aduan, namun saya ditangkap dan menurut polis ia kerana pelanggaran PKP.
“Saya tidak langgar PKP. Jadi, saya merasakan ini tidak adil,” katanya di Facebook malam ini selepas dibebaskan polis daerah Sentul.
Prabakaran dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul selepas ditahan pada pukul 5 petang semalam.
Menurut Prabakaran, penduduk menghubunginya untuk meminta bantuan selepas kawasan itu dikenakan PKPD secara mengejut.
“Pada pukul 2 petang, penduduk mengadu mereka tiada susu untuk diberikan kepada anak mereka dan bekalan makanan. Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga belum sampai.
“Jadi, saya sangat risau tentang mereka, saya terus ke sana untuk melihat situasi dan memberi bantuan.”
Prabakaran berkata, beliau telah mematuhi semua prosedur ketika ke apartmen Sri Murni.
“Ketika saya ke pusat kawalan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar sedang mengadakan sidang media.
“Saya tunggu beliau dan kemudian saya dekatinya dan maklumkan mengenai rayuan penduduk,” katanya dan menambah Santhara tidak berminat dengan apa yang cuba beliau sampaikan.
Prabakaran berkata menteri berkenaan tidak menerima aduannya dan tidak berikan peluang kepadanya untuk memberi penjelasan.
“Saya satu saya di pihak pembangkang, tetapi sekarang bukan masa untuk berpolitik. Saya sangat kecewa. – 21 April, 2020.
Komen