CADANGAN penggabungan antara Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) masih diteruskan walaupun perubahan kerajaan, kata sumber.
“Kementerian Pengangkutan tidak menunjukkan apa-apa mengenai hala tuju dasar itu. Kami anggap status quo - keputusan terdahulu,” kata sumber berkaitan Mavcom kepada The Malaysian Insight.
Satu lagi sumber terdekat dengan CAAM turut menyatakan perkara yang sama.
Namun, kedua-dua mereka berkata proses penggabungan itu tidak menunjukkan banyak kemajuan.
Terdapat beberapa isu yang tertangguh, termasuk pertindihan undang-undang dan peraturan, pembersihan CAAM serta proses menaik taraf tahap keselamatan udara yang diturunkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), kata sumber.
Pada 11 November, FAA menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia daripada kategori 1 kepada kategori 2.
Menurutnya, CAAM gagal memenuhi piawaian keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke pada Disember berkata penggabungan antara dua entiti itu akan memberi faedah terbaik kepada industri penerbangan.
Katanya penggabungan itu penting bagi memperkasakan dan memperkukuhkan kedudukan kewangan CAAM.
Tambah Loke, kemampuan kewangan pihak berkuasa penerbangan merupakan salah satu faktor penurunan gred oleh FAA.
Mavcom ditubuhkan oleh kerajaan Barisan Nasional, yang mana fungsinya termasuklah pengeluaran lesen penyedia perkhidmatan penerbangan. peruntukan hak trafik, perkara persaingan, perlindungan pengguna, menetapkan caj lapangan terbang dan pengurusan kewajipan perkhidmatan awam. – 21 April, 2020.
Komen