KES baharu Covid-19 kekal dua digit masuk hari keempat berturut-turut, dengan 36 kes dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata buat pertama kali juga tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan.
“Ini merupakan bilangan kes harian terendah yang direkodkan setakat ini,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Ini juga menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini adalah 5,425 dan angka kematian kekal 89 orang.
Tambah beliau, seramai 45 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 28 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
Dr Noor Hisham juga berkata penurunan kes harian yang dapat dilihat kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dan mengesan kes yang dijalankan terutama dalam tempoh dua minggu yang lalu.
“Namun demikian jumlah ataupun bilangan kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya. – 20 April, 2020.
.jpg)
Komen