SEMUA penduduk Kampong Bharu yang disaring untuk jangkitan Covid-19 sejak minggu lalu diwajibkan untuk mengasingkan diri selama 14 hari di kediaman masing-masing, kata penduduk.
Presiden Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampong Baru (Pewaris) Mashuti Mat Soom berkata, penduduk diarah demikian melalui dokumen yang diterima selepas menjalani saringan.
“Saya percaya majoriti penduduk pergi buat saringan yang bermula Jumaat, minggu lepas.
“Itu undang-undangnya. Saya sendiri kena kuarantin di rumah bersama empat anggota keluarga selepas kami pergi membuat saringan hari ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Dokumen dilihat The Malaysian Insight menyatakan arahan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman bagi kontak Covid-19.
Ia antara lain mengarahkan penduduk yang menjalani kuarantin itu mengasingkan diri dari keluarga di dalam bilik dan tidak keluar rumah, termasuk untuk bekerja.
Ia menyatakan, penguatkuasaan itu di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Mereka juga diarahkan untuk mengambil rekod mana-mana individu yang menziarah, sekiranya ada.
Turut disertakan dalam perintah berkenaan adalah nombor talian telefon untuk dihubungi sekiranya individu yang dikuarantin memerlukan bantuan keperluan harian.
Hanya pejabat kesihatan daerah yang dibenarkan untuk membebaskan individu berkenaan daripada kuarantin di kediaman masing-masing selepas tempoh 14 hari.
Selain itu, sepanjang tempoh tersebut, mereka perlu memakai topeng muka sepanjang masa dan mencatatkan suhu badan bermula daripada tarikh saringan pertama dilakukan.
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampong Baru (MAS), Shamsuri Suradi menganggarkan, kira-kira 3,000 penduduk dari tujuh kampung sudah disaring.
“Hari ini penduduk dari lima kampung diarahkan membuat saringan, kira-kira 2,257 orang juga yang disaring,” katanya, ketika dihubungi.

Katanya, ia terdiri daripada penduduk Kampung Masjid, Kampung Periuk, Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, dan Kampung Paya.
Manakala dua lagi kampung iaitu Kampung Atas A dan Kampung Atas B sudah menjalani saringan lebih awal sebelum ini.
Perintah saringan itu dikuatkuasa selepas satu kematian berkaitan Covid-19 direkodkan di sebuah Pangsapuri PKNS di kawasan itu.
Kira-kira 1,000 penghuni pangsapuri tersebut turut diarahkan membuat saringan.
Saringan setakat minggu lalu menemui 23 kes positif selepas saringan besar-besaran dibuat di bangunan perumahan itu. – 20 April, 2020.
Komen