POLIS akan merakam keterangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Ahmad Said hari ini, kerana didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Terengganu Roslee Chik mengesahkan perkara itu dan berkata polis juga akan merakam keterangan individu lain yang hadir di kediaman Ahmad.
“Kita akan rakam keterangan Ahmad Said hari ini, Ini termasuk semua yang hadir di rumahnya pada Jumaat lepas,” katanya ketika dihubungi.
Jumaat lalu tular di media sosial gambar pertemuan Ahmad dan Samsuri di kediamannya di Teluk Kalong, Kemaman.
Pertemuan yang turut dihadiri beberapa sukarelawan di rumah bekas menteri besar Terengganu itu dilaporkan sedang menyiapkan bantuan barangan keperluan untuk diedarkan kepada golongan miskin.
Ahmad dipetik Berita Harian berkata beliau berharap sukarelawan yang hadir untuk membantu mengagihkan bantuan kepada golongan miskin pada hari itu tidak dihukum.
“Hukum saya jika didapati bersalah tetapi bukan sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu menyampaikan bantuan kepada orang miskin ini,” Ahmad dipetik berkata. – 20 April, 2020.
Komen