BEKAS menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menggesa penggantinya Annuar Musa bertanggungjawab atas kedegilan untuk mengadakan bazar Ramadan yang kini menyebabkan pengusaha bazar kerugian
Khalid berkata menteri Wilayah Persekutuan itu tetap mahu menjayakan pendekatan baharu untuk mengadakan bazar Ramadan sewaktu wabak Covid-19 walau pihak lain berpendapat sebaliknya.
“Terbukti, ia tetap ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memutuskan semua bentuk bazar Ramadan tidak dibenarkan tahun ini
“Ekoran itu, berpuluh ribu ringgit wang sewaan tapak bazar Ramadan milik peniaga kecil di Wilayah Persekutuan tersangkut di DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan badan penganjur bazar Ramadan,” katanya.
Oleh itu Khalid yang juga menggesa menteri Wilayah Persekutuan mendesak DBKL memulangkan semua bayaran sewa bazar yang dibatalkan itu dan menanggung kerugian penganjur tapak bazar.
DBKL atau kementerian juga wajar menanggung segala kerugian penganjur bazar yang telah membuat persediaan, katanya.
Ini memandangkan kementerian Annuar memberi harapan kepada pengusaha tersebut yang bazar Ramadan akan diadakan pada tahun ini.
“DBKL dan penganjur bazar Ramadan perlu memulangkan keseluruhan bayaran yang diambil termasuk deposit, sewa tapak dan lain-lain fi yang mereka ambil daripada peniaga.
“Ini kerana para peniaga bazar ini sangat memerlukan wang ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Sudahlah mereka tidak dapat berniaga, duit sewa dan deposit mereka pula dipegang,” katanya.
Selepas arahan MKN melarang segala bentuk bazar Ramadan minggu lalu, DBKL memberi pilihan kepada peniaga untuk mendapatkan semula bayaran sewa atau mengekalkannya sebagai bayaran bazar untuk tahun depan.
Bulan Ramadan dijangka bermula pada Jumaat, lima hari sebelum PKP peringkat ketiga berakhir.
MKN masih belum mengumumkan sama ada akan melanjutkan lagi PKP dan Kementerian Kesihatan menyarankan agar agar langkah kawalan diteruskan antara enam hingga setahun selepas perintah itu berakhir.
Langkah kawalan itu termasuk larangan perhimpunan ramai dan jagaan jarak fizikal.
Sebanyak 84 kes baharu dan satu lagi kluster jangkitan dikesan semalam, menjadikan jumlah kes positif kini seramai 5,389 orang. – 20 April, 2020.
Komen