KES baharu Covid-19 kekal dalam dua digit buat hari ketiga berturut-turut apabila 84 kes direkodkan setakat tengah hari hari ini.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan virus itu kepada 5,389.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah Jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini adalah 95 orang, sekali lagi melebihi jumlah kes baharu positif Covid-19.
“Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 3,197 iaitu sebanyak 59.32 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Namun satu kematian turut dicatatkan hari ini menjadikan korban keseluruhan 89 orang.
Mangsa terbaru merupakan lelaki tempatan berusia 51 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di Johor pada 13 April lalu.
Dr Noor Hisham berkata lelaki itu meninggal duni pukul 6.47 malam semalam.
Mangsa mempunyai sejarah sakit diabetes, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 46 kes masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dengan 26 pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan. – 19 April, 2020.

Komen