ORANG ramai hanya boleh menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) dari jam 8 pagi hingga 8 malam semasa Perintah Kawalan Pergerakan fasa ketiga (PKPD), kata Ismail Sabri Yaakob.
“Terdapat laporan bahawa orang ramai keluar untuk mengeluarkan wang hingga tengah malam dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk mengehadkan penggunaannya dari pukul 8 pagi hingga 8 malam,” kata menteri pertahanan ketika sidang akhbar hariannya di Putrajaya hari ini .
Katanya, Kementerian Dalam Negeri juga telah memutuskan untuk mengetepikan denda dan melanjutkan pendaftaran kelahiran dan kematian sehingga 90 hari selepas PKP berakhir.
“Mereka yang kehilangan MyKad dan perlu penggantian, harus menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara di daerah mereka untuk mendapatkan temu janji sekiranya mereka ingin memproses penggantian.
“Ini hanya untuk kes kecemasan,” kata Ismail Sabri.
Sementara itu, kerajaan telah menyediakan 11 pusat tahanan baharu bagi mereka yang ditangkap kerana melanggar PKP.
“Kami telah mewartakan beberapa pusat tahanan dan ia akan beroperasi mulai 23 April.”
Menurut Ismail Sabri, polis menahan 1,111 individu semalam berbanding 1,565 pada hari Jumaat.
“997 direman sementara 114 dibebaskan dengan jaminan polis. Jumlah mereka yang ditangkap kerana melanggar PKP (hingga 18 April) adalah 14,750.” – 19 April, 2020.
Komen