SIDANG Parlimen sehari pada 18 Mei terlalu lewat untuk wakil rakyat berbincang dan membuat keputusan tentang usaha memerangi wabak Covid-19 dan kesannya, kata M Kula Segaran.
Bekas menteri itu sebaliknya mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memanggil sidang tergempar dan sekiranya wujud kebimbangan risiko jangkitan sidang Parlimen boleh diadakan secara virtual.
“Sangatlah dikesali yang kerajaan Perikatan Nasional hanya memperuntukkan sehari untuk sidang Parlimen dan itu pun hanya pada 18 Mei.
“Saya mendesak kerajaan Perikatan Nasional untuk memanggil sidang Parlimen tergempar secepat mungkin dan sebelum 18 Mei menerusi persidangan virtual yang akan membolehkan semua wakil rakyat menyuarakan kebimbangan perwakilan mereka dan menyampaikan suara kepastian kepada rakyat yang mereka wakili,” kata wakil rakyat DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, rakyat kini bimbang dengan tekanan melampau dirasai pekerja kesihatan dan kesan ekonomi disebabkan wabak.
“Kita juga mendengar banyak perniagaan yang berdepan kesukaran mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk membuka kedai disebabkan jumlah trafik di laman webnya.
“Sangat penting untuk diingatkan yang Parlimen terutama dalam masa kritikal untuk meredakan ketakutan awam dan memastikan penyampaian sumber berkesan kepada komuniti memerlukan terutama mereka yang terpinggir dan tertindas.”
Tambahnya, perlu ada mekanisme semak dan imbang yang jelas ke atas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion yang diumumkan bagi memastikan keberkesanan dan penyampaiannya.
“Bagaimana kita -wakil rakyat Malaysia boleh diperkasa untuk memberi perkembangan terkini kepada perwakilan kita sekiranya Parlimen tidak bersidang dan membincangkan isu kritikal yang memberi kesan kepada rakyat dalam masa sukar ini?”
Jumaat lalu, Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat mengeluarkan notis persidangan kepada semua ahli Parlimen yang menyatakan sidang hanya akan diadakan sehari pada 18 Mei.
Menurut notis, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menyampai titah diraja pada jam 10 pagi.
Tambahnya, hanya isu berkaitan Covid-19 akan dibincangkan dan tiada sesi soal jawab atau bahas akan dibuat di Dewan Rakyat.
Parlimen sepatutnya bersidang pada 9 Mac tetapi ditangguhkan kepada 18 Mei susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dan terbentuknya Perikatan Nasional.
Semalam, dua ahli Parlimen DAP iaitu Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) mencadangkan agar sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini membenarkan soalan dikemukakan kepada kerajaan dan jawapan dibalas secara bertulis.
Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata PH tidak akan membentangkan undi tidak percaya kepada Muhyiddin pada 18 Mei, memberi jaminan pembangkang akan memberi tumpuan kepada wabak Covid-19 dan kesannya.
Setakat semalam, Malaysia mempunyai 5,305 kes jangkitan Covid-19 dengan 88 kematian. – 19 April, 2020.
Komen