Sisa industri kurang waktu PKP tapi sampah domestik banyak


Mohd Farhan Darwis

Pekerja pelupusan sampah berdepan risiko menguruskan sisa yang dikhuatiri tercemar dengan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2020.

KUTIPAN sampah berkurangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walau jumlah sampah domestik dari kawasan perumahan meningkat, menurut syarikat pengurusan sisa pepejal.

Menurut KDEB Waste Management (KDEBWM), secara umum sampah berkurangan kerana banyak premis perniagaan ditutup dan premis menyediakan makanan pula hanya beroperasi secara minimum.

Pengarah urusannya Ramli Mohd Tahir berkata kajian KDEBWM mendapati berat sampah yang dikutip berkurangan 14.8% sejak seminggu sebelum PKP hinggalah tiga minggu kemudian.

Ia dikesan berlaku di semua 12 kawasn pihak berkuasa tempatan Selangor yang diuruskan KDEBWM, katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, firma itu mendapat berlaku trend penurunan sebanyak 7.9% pada minggu pertama PKP dan menurun lagi sebanyak 7.5% pada minggu kedua PKP.

Sebanyak 34,000 tan metrik dikutip dalam masa seminggu sebelum PKP, yang turun kepada kira-kira 31,400 tan metrik dan turun lagi kepada hanya 29,000 tan metrik pada minggu seterusnya, kata beliau.

Peningkatan kutipan sekitar 10% dikesan hanya berlaku di kawasan kejiranan kerana orang ramai berada di rumah dan menggunakan khidmat penghantar makanan.

Sampah domestik meningkat sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2020.

“Namun pengurangan berlaku untuk sampah di kawasan komersial sebab kedai makan cuma boleh (sedia makanan) bungkus dan institusi pengajian tinggi, kilang semua ditutup,” jelasnya.

Tambahnya ramai mengandaikan penghasilan sampah akan meningkat sepanjang tempoh PKP ini tetapi ia tidak tepat kerana jumlah kutipan sampah sebenarnya berkurangan, kata Ramli.

Ini memandangkan pengeluaran di pelbagai jenis perusahaan tergendala akibat penguatkuasaan PKP yang turut menyebabkan permintaan pelbagai jenis perkhidmatan dan perniagaan merosot.

Beliau juga berkata, pengurangan kutipan sampah juga hanya dilihat berlaku di kawasan majlis bandaraya dan majlis perbandaran tetapi pengurangan di kawasan seliaan majlis daerah tidak ketara.

“Teorinya… banyak kawasan komersial dan industri yang tidak beroperasi  dan menyumbang kepada pengurangan penghasilan sampah.

“Ini berbeza dengan majlis daerah yang tidak mempunyai kawasan komersial dan industri sebanyak di Majlis Bandaraya dan Perbandaran.

“Justeru, penghasilan jumlah sampah di kawasan majlis daerah walaupun turut menunjukkan trend penurunan, tetapi tidaklah begitu ketara,” katanya.

Untuk perlindungan petugas kutipan sampah pula, Ramli berkata, syarikatnya membekalkan membekalkan cecair pencuci tangan dan pelindung muka bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Kita juga sarankan kakitangan bawa bekal dari rumah dan terus pulang ke rumah selepas waktu kerja,” katanya.

Pengendali tapak pelupusan sampah Worldwide Holdings turut merekodkan pengurangan ketara sampah yang dibuang sepanjang tempoh PKP.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Norazlina Zakaria berkata, sepanjang tempoh itu, sampah yang dihantar ke pusat pelupusan berkurangan sehingga 40% di Selangor.

“Dianggarkan sebanyak 8,000 tan sampah di mana hampir 90% daripada jumlah buangan domestik yang dikeluarkan di negeri ini dan Selangor adalah pengeluar sisa domestik terbesar di Malaysia.

“Impak pengurangan sampah tersebut sebahagian besarnya bagi kategori sisa pembinaan, komersial dan perindustrian.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 40% penurunan sampah telah direkodkan yang dihantar ke semua tapak pelupusan di Selangor,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh PKP ini, sisa domestik iaitu sisa pepejal dari rumah merangkumi sisa makanan dan plastik juga telah menurun di semua tapak pelupusan mereka.

Namun begitu, katanya, terdapat sisa buangan seperti topeng muka yang diterima bercampur dengan sisa pepejal dari kawasan perumahan, namun jumlahnya kecil.

Syarikat terbabit menguruskan enam tapak pelupusan sampah di Selangor iaitu tiga tapak pelupusan sanitari dan tiga tapak pelupusan sisa lengai atau pelupusan sisa industri.

Di Johor, syarikatnya mengendalikan lima tapak pelupusan sejak Jun 2019 dan biasanya 15% daripada sampah yang diuruskan itu terdiri daripada buangan domestik.

“Sejak perlaksanaan PKP, kejatuhan sebanyak 30% penerimaan pelupusan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan Johor direkodkan,” katanya, lagi.

Katanya cabaran besar waktu ini adalah menguruskan buangan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dari orang awam seperti topeng muka dan sarung tangan yang dikhuatiri dicemari virus Covid-19.

Oleh itu, syarikatnya menyediakan tambahan PPE untuk kakitangan di tapak pelupusan bagi mengelak hubungan langsung dengan sisa seperti topeng muka dan sarung tangan yang dibuang oleh orang awam.

Ini memandangkan sisa berkenaan bercampur dengan sisa domestik lain.

“Antara PPE tambahan yang dibekalkan kepada kakitangan operasi adalah seperti terowong sanitasi, cecair pencuci tangan, topeng muka dan sarung tangan getah di samping PPE lazim seperti jaket dan kasut keselamatan,” katanya.

Tambahnya, pengasingan sampah untuk dikitar semula juga katanya dihentikan sejak PKP atas faktor keselamatan kakitangan.

Selain itu, sampah yang dibuang juga ditutup dengan segera di tapak pelupusan sebagai langkah kawalan dan keselamatan tambahan, katanya lagi. – 20 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen