RAKYAT Malaysia belum sedar akan impak kemelesetan ekonomi dunia akibat Covid-19.
Lebih 2.5 juta pekerja tempatan dijangka kehilangan pekerjaan. Manakala, kerajaan akan mengalami krisis pendapatan yang teruk. Kejatuhan 60% harga minyak mentah akan menjejaskan 33% pendapatan negara.
Malaysia juga akan kehilangan RM100 bilion pendapatan sektor pelancongan.
Keadaan ekonomi yang menjunam teruk akibat Covid-18 juga mampu menyusutkan 50% pendapatan percukaian kerajaan sementara 40% sektor perniagaan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menanti hari untuk ditutup.
Kajian Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) pada awal Mac, berisi maklumat yang membimbangkan.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyediakan 66% peluang pekerjaan. Mewakili 10 juta pekerja di negara ini. Padah lebih teruk ialah 70% pengusaha PKS hanya memiliki kemapanan daya tunai hingga hujung April ini.
MaGIC melaporkan: 40% PKS akan terhenti operasi sekiranya rantaian Covid-19 berlanjutan antara tiga hingga enam bulan.
Dalam bahasa mudah, rakyat Malaysia belum serius membincangkan krisis ekonomi yang bakal melanda dalam masa terdekat.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada 16 Mac dan dikuatkuasakan pada 18 Mac, rakyat Malaysia terkejut. Walaupun virus Covid-19 dilaporkan 3 bulan lebih awal—Malaysia ketika itu sedang berdepan kemelut politik.
Riuh politik hanya terhenti apabila Mahyuddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri dan mengangkat sumpah pada 1 Mac. Seminggu selepas keadaan tidak menentu berikutan keputusan Dr Mahathir Mohammad meletak jawatan pada 24 Februari.
Krisis ini meletihkan. Penat kalau ditulis kronologinya. Ia lebih memenatkan berbanding mengingati sejarah 400 tahun dijajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.
Mengenai Covid-19, setakat semalam, angka jangkitan melepasi 5,305 ribu orang dengan 88 kematian. Berbanding 40 negara teratas dalam senarai indeks global, Malaysia paling menakjubkan kerana kadar kepulihan melebihi 58.5% (3102).
Malaysia antara negara paling berjaya mengawal wabak Covid-19. Sebelum PKP dilaksanakan, indek negara berada di 20 tertinggi dunia.
Dalam tempoh sebulan, indek Malaysia menurun ke senarai 40. Namun, cabaran utama sekarang tentunya untuk kekal bertahan ketika penularan wabak ini terus memuncak di peringkat global.
Angka jangkitan dan kematian di 40 negara teratas di benua Eropah, Amerika dan Asia menjadikan dunia berada pada Zon Merah. Setakat semalam lebih 2.25 juta kes jangkitan dilaporkan dengan lebih 155 ribu kematian di 193 negara.
Impak ekonomi makin parah apabila hampir semua kuasa ekonomi dunia berdepan keadaan penularan parah.
Ini menjadikan kesan domino kemelesetan ekonomi semakin pantas.
Malaysia yang malas berfikir
Persoalannya: apakah rakyat Malaysia menyedarinya krisis ekonomi yang kritikal ini?
Apakah Malaysia benar-benar faham isu 2.4 juta orang akan kehilangan pekerjaan?
Apakah Malaysia sedar kesan kemelesetan ekonomi global dan kejatuhan 60% harga minyak akan menjejaskan 50% pendapatan kerajaan?
Kalau pendapatan kerajaan merosot, apakah impaknya?
Malaysia masih dibelenggu topik bila PKP akan berakhir; bila pelajar akan balik ke sekolah, atau bila mahasiswa kembali ke kampus?
Tidak ada perbincangan serius mengenai nasib 14.5 juta pekerja? Apakah semua pekerja masih mempunyai pekerjaan selepas PKP?
Ingat! 76,372 orang kehilangan pekerjaan selepas dua minggu PKP dilaksanakan. Isunya, ekonomi domestik mulai melemah dan ekonomi global pula makin menjunam.
Kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati, 46.6% daripada 168,182 responden - mengaku hilang kerja.
Ini data ‘Kajian Khas Kesan Covid-19” yang dijalankan pada 23 hingga 30 Mac lalu.
Apa pun fakta yang diberikan, anehnya Malaysia tetap enggan mempedulikannya. Ini cara Malaysia—sentiasa mengelak untuk memikirkan realiti yang menakutkan.
Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap realiti terpilih. Gemar memikirkan yang bagus dan selesa saja. Tetapi malas dan ekskapis dalam isu yang realitinya menakutkan.
“Lebih baik berdebat soal artis minta bantuan, atau gosip tabligh sebagai kluster utama Covid-19.” Itulah sikap Malaysia.
Sekiranya Jabatan Perangkawan melakukan kaji selidik fasa kedua, ada potensi 50% daripada 500 ribu responden kini hilang kerja.
Malaysia enggan peduli. Walaupun ekonomi merudum tiap minit dan impaknya ketara setiap hari. Malaysia selesa berpura-pura, masalah utama hanya Covid-19. Semua akan OK selepas ini.
Malaysia tetap sama dengan katalis sindiran penyair terkenal dekad 80-an. Kata Salleh Ben Joned: “Mati belakang hari belakang kira.”
Itu cara Malaysia.
Angka dan fakta bukan minat Malaysia
Kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 April sebenarnya menakutkan. Terutama mengenai kadar pengangguran akan meningkat ke 4% tahun ini.
Secara angka, 4% bersamaan 951 ribu penganggur. Itu data BNM dua minggu lalu dan belum dipadankan dengan data terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dikeluarkan pada 15 April.
Menurut IMF, dunia sedang menuju kemelesetan terburuk menyamai krisis 1930-an di Amerika Syarikat. Bagaimana Malaysia mampu berfikir dengan menyemak kembali apa yang berlaku 90 tahun lalu?
Pada 15 April IMF mengumumkan: “Krisis ini tidak pernah berlaku dan wujud ketidaktentuan mengenai kesannya terhadap kehidupan harian penduduk dunia,” kata ketua ekonominya, Gita Gopinath dalam Prospek Ekonomi Dunia terkini.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global 2020 kini diunjurkan -3.0%, jauh lebih buruk berbanding -0.1 peratus ketika krisis kewangan global 2009.
Secara fakta, dalam tiga bulan pertama 2020, unjuran pertumbuhan KDNK global diturunkan lebih 6%.
Pada Januari lalu, ketika Covid-19 melanda Wuhan, China, IMF mengunjurkan KDNK global tumbuh 3.3%.
Malaysia belum sedar, hanya dalam 10 minggu, struktur ekonomi dunia rebah ke peratusan minus 6.3%.
“Keadaan “The Great Lockdown” menyebabkan pertumbuhan global merosot mendadak. Pemulihan diunjurkan pada 2021, dengan tahap KDNK akan kekal di bawah trend pra-virus, dengan ketidaktentuan terhadap tahap pemulihan,” kata Gita.
Gita tidak hanya obses menyebarkan angka. Mewakili IMF, data dan fakta laporan ini mengingatkan: bahaya lain yang sedang membunuh dunia.
Pembunuhan ekonomi massa akan lebih teruk sekiranya langkah pencegahan pandemik mengambil masa lebih lama.
IMF mula menekan butang panik minggu lalu. Sekaligus memberi amaran, keadaan ekonomi dunia akan memasuki fasa kritikal dan banyak negara akan berdepan dengan ‘kebangkrapan’.
“Isi risiko yang akan menyebabkan penutupan perniagaan dan meningkatnya kadar pengangguran,” kata Gita.
Sila berfikir segera Malaysia!
Saya fikir, tidak perlu Muhyuddin Yassin memberikan peringatan kali kedua seperti dilakukan terhadap kepimpinan GLC pada 2 April lalu.
Muhyiddin terpaksa bertemu ketua-ketua korporat GLC dan menegur supaya memainkan peranan untuk lebih proaktif.
GLC tanpa teguran pada waktu itu kelihatan seperti hilang arah dan tidak cakna terhadap tanggungjawab membantu kerajaan menangani krisis Covid-19.
Agensi kerajaan terutama media massa perlu memainkan peranan lebih proaktif. Ahli ekonomi dan akademis juga tidak wajar tidur kerana #stayhomestaysafe.
Kita tidak mahu apabila Covid-19 berakhir, polis masih bekerja di jalan raya. Mengawal jutaan manusia yang mundar-mandir mencari kerja.
Mengapa kita perlu berfikir?
Kita rujuk data terkini Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Menurut laporan ILO yang dikeluarkan awal April lalu, Asia Pasifik akan mengalami kerugian terbesar dalam jam bekerja.
Selain, 125 juta pekerjaan sepenuh masa akan terjejas dalam tempoh tiga bulan terdekat.
“Pandemik ini mempunyai kesan sangat serius kepada pekerjaan global,” kata Ketua ILO, Guy Ryder.
“Lebih 80% pekerja global bakal berdepan dengan krisis tidak menentu dan angkanya membabitkan 3.3 bilion pekerja,” kata Ryder.
Berfikirlah Malaysia…. – 19 April, 2020
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen