PENGUMUMAN kerajaan baru-baru ini yang ia akan campur tangan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak adalah bukti Perdana Menteri Najib Razak mengakui kesesuaian model subsidi bahan api bersasar Pakatan Harapan (PH), kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Malam tadi, kerajaan mengumumkan akan campur tangan jika harga RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter selama lebih tiga bulan.
Rafizi berkata pusingan “U” Najib mengenai isu subsidi bahan api adalah bukti model ekonomi dicetuskan PH, yang akan memperkenalkan semula subsidi bahan api untuk golongan berpendapatan rendah, adalah langkah yang betul.
“Saya orang paling berpuas hati dengan keputusan itu kerana akhirnya Najib mengetepikan ego dan kepentingan politiknya dengan mengakui kaedah subsidi yang dilaksanakan dengan harga siling perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
AhliParlimen Pandan itu juga menjelaskan bahawa mudah untuk menurunkan harga bahhan api tetapi Najib tidak pernah memperakuinya.
“Kiraan saya menunjukkan apabila harga minyak mentah global mencecah AS$64 setong, formula yang digunapakai pentadbiran Najib akan menetapkan RON95 pada harga RM2.50 seliter.
“Harga (minyak mentah) hari ini ialah AS$62.16 setong dan dalam bulan ini ia mencecah AS$64.27 setong.
“Ini bermakna prospek RON95 berharga RM2.50 seliter bukan sesuatu yang luar biasa dan boleh berlaku dalam beberapa minggu akan datang,” kata Rafizi.
Beliau berkata, untuk purata kenaikan AS$1 setong, 40% daripada kenaikan itu akan dibayar terus kepada kerajaan persekutuan dari segi royalti, cukai petroleum dan lain-lain, tidak termasuk keuntungan dari Petronas dan cukai-cukai lain dan dividen berbayar.
Rafizi mengkritik pemansuhan subsidi bahan api itu kerana ia sama dengan kerajaan mengambil semua keuntungan daripada kenaikan harga bahan api apabila semua pendapatan daripada kenaikan harga tidak dipulangkan dalam bentuk subsidi bahan api kepada rakyat.
“Alasan keuntungan dikembalikan dalam bentuk BR1M tidak boleh diterima kerana alasan yang sama digunakan untuk menjelaskan kenapa GST terpaksa dilaksanakan.
“Bagi saya, apa yang dibayar sebagai BR1M adalah melalui GST, dan keuntungan yang diperolehi menerusi kenaikan harga bahan api harus dipulangkan semula (kepada rakyat) dalam bentuk subsidi bahan api.”
Rafizi menganggarkan dari kenaikan harga minyak mentah global, pentadbiran Najib memperolehi lebihan pendapatan sebanyak RM2.5 bilion.
Beliau menafikan kerajaan akan memberikan subsidi bahan api serta mengekalkan harga siling RON95 pada RM2.50, dan melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Putrajaya semalam.
“Setiap kali harga RON95 turun kepada RM2.50 seliter, walaupun ia melebihi RM2.50 pada minggu-minggu sebelumnya, ia akan ‘menetapkan semula’ kiraan bagi tiga bulan berturut-turut dan akan ini akan membolehkan Najib terus menyimpan lebihan pendapatan tanpa memulangkan sesen pun dalam bentuk subsidi bahan api.”
Rafizi mendesak kerajaan supaya membatalkan keperluan bagi RON95 menelan kos melebihi RM2.50 seliter untuk tiga bulan berturut-turut dan sebaliknya memperkenalkan harga siling pada RM2.30 seliter.
Beliau berkata subsidi mingguan boleh dibiayai dengan menggunakan jumlah GST tahunan RON97 yang dikutip, iaitu kira-kira RM68 juta bagi mengurangkan harga RON95 dan bahan api di bawah RM2.30 seliter.
Kata Rafizi, lebihan pendapatan melalui kenaikan harga minyak mentah yang dianggarkan pada RM2.5 bilion juga boleh digunakan untuk membayar RM47 juta yang diperlukan bagi mengekalkan harga siling pada RM2.30 seliter.
RON95 dan RON97 kini masing-masing pada RM2.38 dan RM2.66 seliter, manakala diesel pada RM2.55 seliter. – 21 November, 2017.
Komen