PRESIDEN PKR membangkitkan semula kisah Si Kitol yang menurutnya perlu diteladani golongan muda untuk memahami isu pengkhianatan dan rasuah.
Beliau berkata kisah berkenaan perlu dikaji dalam situasi semasa apabila timbul pihak yang mendabik dada sebagai pejuang Melayu walau tidak pernah membaca sejarah Melayu.
“Kalau boleh lepas ini saya akan bawa buku Si Kitol ini, hendak buka sejarah Melayu. Saya nak anjur supaya lebih ramai anak muda tahu mengenai sejarah si Kitol ini.
“Sebab kita tak nak kata saja pejuang Melayu tapi tidak tahu sejarah, tak tahu ada pengajaran yang banyak boleh diambil,” katanya dalam sidang media disiar langsung di Facebook hari ini.
Presiden PKR itu pertama kali membangkitkan kisah Si Kitol ketika perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR di Melaka tahun lepas.
Namun ucapannya itu didakwa sengaja menyindir bekas timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali yang mendorong kepada perpecahan parti terssebut.
Pada 24 Februari lalu, Azmin bersama Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dipecat oleh parti kerana dikaitkan dengan usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.
Azmin dan Zuraida mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai menteri dalam kerajaan baharu bersama Bersatu, PAS dan Umno yang dibentuk akhir bulan tersebut. – 18 April, 2020.
Komen