Isu agihan makanan sebab campur tangan politik, kata Anwar


Diyana Ibrahim

Dalam sidang media langsung menerusi Facebook hari ini, Anwar mengulas desakan ahli Parlimen pembangkang agar menteri terlibat Rina Harun menjelaskan mengenai agihan bakul makanan bencana Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2020.

CAMPUR tangan politik yang melampau punca bakul makanan tidak dapat diagih ke kawalan ahli Parlimen pembangkang, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau tidak menyalahkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana pegawai berkenaan hanya mengikut arahan.

“Isu ini terjadi  bila ada orang itu rasa tidak selamat (terancam) mengelabah, tak berani jadi nak kawal itu ini, tambah pula lantik penyelaras yang tidak ada jentera di bawah mereka,” kata Anwar.

Dalam sidang media langsung menerusi Facebook hari ini, Anwar mengulas desakan ahli Parlimen pembangkang agar menteri terlibat Rina Harun menjelaskan mengenai agihan bakul makanan bencana Covid-19.

Menurut ahli Parlimen berkenaan, sehingga kini bantuan bakul makanan itu masih belum diagih kerana senarai penerima bantuan dikawal oleh parti dan ahli Parlimen kerajaan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bagaimanapun berkata semua bantuan akan disalurkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Anwar berkata jawapan Rina itu sukar diterima memandangkan sudah terbukti ada kawasan ahli Parlimen pembangkang yang tidak dapat menerima bakul makanan.

Katanya lagi bagi kawasannya di Port Dickson bantuan bakul makanan diterima namun tidak diberikan kepadanya selaku ahli Parlimen namun diserahkan kepada pegawai penyelaras Dun.

“Di PD ada diedarkan tapi tak iktiraf saya dan Adun. Mereka lantik penyelaras dari Bersatu yang tak tahu jenteranya apa. Tapi saya tak nak jadi masalah  asalkan sampai pada rakyat,” katanya.

Tambahnya, pek bantuan itu juga bernilai lebih rendah daripada harga RM100 yang ditetapkan untuk setiap bakul.

Katanya, beliau mendapat laporan terdapat kos operasi sehingga RM15 dipotong daripada setiap bakul sehingga menjadikan barangan yang disalurkan hanya bernilai RM85.

“Saya rasa tak perlu sampai begitu,” katanyaa.

Sebanyak 1,000 bakul makanan bernilai RM100 diperuntukkan untuk setiap kawasan Parlimen bagi keluarga dari golongan B40. – 18 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen