Menteri pertahan program rumah mampu milik, nafi matlamat tersasar


Diyana Ibrahim

Kerajaan mewujudkan pelbagai insentif bagi memastikan dasar perumahan mampu milik dilaksanakan menepati matlamatnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2017.

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor mempertahankan projek perumahan mampu milik yang diwujudkan kerajaan, sekali gus menyangkal dakwaan ia gagal menepati sasaran matlamatnya.

Katanya, pelbagai polisi diwujudkan bagi memastikan program perumahan mampu milik dapat dilaksanakan termasuk menawarkan bantuan dan jalan keluar sekiranya pembeli berdepan masalah pinjaman perumahan daripada bank.

“Saya tak setuju. Untuk maklumat Yang Berhormat, Dasar Rumah Wilayah Persekutuan (RumaWIP) meluluskan lebih 70,000 unit untuk dibangunan dengan harga bermula RM188,000 hingga RM300,000.

“Kita ada program tertentu seperti di Desa Pandan yang membangunkan semula rumah dan melibatkan ramai kaum India. Kita jual dengan harga RM42,000 seunit tapi mereka ada masalah dengan pinjaman bank. Jadi, kita minta Yayasan WP bantu RM300 sebulan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Terdahulu wakil rakyat BN itu meminta menteri terbabit menyatakan langkah komprehensif kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah.

Beliau berkata ia susulan aduan rakyat yang menyatakan dasar rumah mampu milik tidak mencapai matlamat.

“Dasar rumah mampu milik tapi hampir mustahil. Kita cuma mampu tengok saja dan saya dapat aduan projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) jauh tersasar. Ia bukan sediakan rumah mampu milik,” kata ahli Parlimen itu.

Mengulas perkara itu, Tengku Adnan sekali lagi mempertahankan dasar rumah mampu milik kerajaan dengan menyatakan tidak adil bagi wakil rakyat BN membuat tuduhan  begitu.

“PR1MA tiada masalah membantu rakyat, tapi biar menteri terbabit yang jawab. Tidak adil untuk Yang Berhormat kata PR1MA rumah mampu lihat.

“Begitu juga dengan Projek Perumahan Rakyat Awam Kuala Lumpur. Kita bangunkan dengan harga subsidi bermula RM90,000, RM120,000 dan RM200,000.” – 21 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen