PENDUDUK Pulau Pinang yang terjejas disebabkan ribut besar pada 4 dan 5 November kini boleh memohon bantuan kerajaan negeri bernilai RM700.
Pembayaran kepada pemohon yang berjaya dijadualkan pada 16 Disember.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata yang kerajaan negeri berhasrat menyalurkan bantuan itu kepada mangsa banjir sebelum tahun depan.
“Kami tak akan tangguh. Jika ada, kami hanya akan benarkan penangguhan seminggu.
“Kita akan berikan duit bantuan kepada rakyat sebelum penggal persekolah baru bermula (pada Januari),” katanya kepada wartawan pada sidang media di Komtar hari ini.
Lokasi mangsa banjir menerima wang tunai itu akan diumumkan tidak lama lagi. Mereka juga boleh meminta wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank mereka.
Kerajaan negeri menganggarkan 100,000 isi rumah terjejas disebabkan ribut besar yang menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh dan menumbangkan pokok itu.
Mereka yang layak memohon bantuan wang tunai itu adalah mereka yang rumah, premis perniagaan, kereta atau motor rosak disebabkan ribut, banjir atau pokok tumbang.
Mereka yang mahu memohon digalakkan membuat permohonan dalam talian. Borang permohonan boleh didapati di www.penangbangkit.com.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Yap Soo Huey yang bertanggungjawab mengawal selia permohonan itu menasihati mangsa banjir untuk membuat permohonan dalam talian kerana ia lebih cepat.
Katanya, setakat semalam, 4,747 orang sudah mengisi borang dalam talian apabila versi beta laman sesawang itu dilancarkan.
Kebanyakan mereka mahukan wang itu disalurkan terus ke dalam akaun bank mereka.
Borang juga boleh diperolehi daripada pusat khidmat wakil rakyat kawasan masing-masing bermula esok.
Pemohon perlu menghantar dokumen kepada pusat khidmat untuk membuktikan alamat mereka.
Mereka yang menyewa rumah dan premis perniagaan pula perlu menghantar bil kemudahan asas atau perjanjian sewa sebagai dokumen sokongan.
Semua permohonan yang diterima akan diperiksa dengan teliti bagi mengesahkan lokasi banjir dan kerosakan harta benda yang berlaku di situ.
Semua permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya pada jam 5 petang, 2 Disember. Mereka yang melakukan permohonan dalam talian juga perlu menghantar dokumen sokongan kepada pusat khidmat wakil rakyat paling lambat pada jam 5 petang, 8 Disember.
Lim berkata sepanjang tempoh permohonan bermula hari ini hingga 2 Disember, pusat khidmat wakil rakyat akan dibuka lebih lama atau menyediakan kaunter khas untuk menguruskan pendaftaran mangsa banjir yang memohon bantuan.
Pejabat yang terlibat dalam pendaftaran adalah di Parlimen Bayan Baru, serta pusat khidmat Adun Air Itam, Machang Bubok dan Sungai Pinang.
Kaunter khas pula disediakan di pejabat Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pejabat rukun tetangga di Taman Kota Permai; Kedai Kopi Kong Beng di Taman Makok; surau Padang Lalang di Kampung Padang Lalang; Kedai At di Jalan Megata Harun, Kampung Baru Alma; pejabat Persatuan Penduduk Taman Jumbu Mawar; dan Ti Ling Kong di Taman Desa Permai.
Kaunter khas lain yang dibuka adalah di pejabat rukun tentangga Taman Sri Rambai Fasa 4; Yi Lan Teng di Taman Sri Rambai Fasa 2 dan 3; dan nombor 49, Lorong Tembikai 3, Taman Sri Rambai Fasa 1.
Mereka yang berada di Taman Permai Jaya 1 dan 2 pula boleh menghubungi Michael Tan di talian 012-4873101 untuk maklumat lanjut.
Lim juga mengatakan yang mereka yang sudah menerima bantuan lebih RM700 daripada Tabung Bantuan Bencana Kerajaan Pulau Pinang tidak layak menerima bantuan RM700 ini.
Bagaimanapun, mereka yang menerima kurang RM700 akan dipertimbangkan dan mereka yang berjaya akan diberitahu selepas 16 Disember.
Lim berkata yang bantuan RM700 itu akan dibayar menggunakan sumbangan orang ramai.
“Setakat ini, kami sudah kutip RM15.32 juta. Jika kita tak kumpul RM20 juta dalam tempoh terdekat untuk bantuan banjir, kerajaan negeri akan tambah baki yang diperlukan,” katanya. – 21 November, 2017.
Untuk berita penuh sila baca di sini.
Komen