Program Subsidi Upah tak bantu peniaga telefon bimbit, kata pertubuhan


Khoo Gek San

Peniaga telefon bimbit tidak pasti bila mereka boleh berniaga semula susulan PKP dikuatkuasakan untuk membendung wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2020.

PROGRAM Subsidi Upah yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) tidak membantu perniagaan kecil seperti kedai telefon bimbit, yang tidak tentu lagi akan beroperasi semula dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Presiden Pertubuhan Peniaga Telekomunikasi Malaysia (PPTM) Ng Kent Soon memberitahu The Malaysian Insight ramai peniaga telefon bimbit tidak memohon program subsidi upah kerana syarat yang ketat.

Di bawah pakej Prihatin yang bertujuan untuk mengurangkan impak pandemik Covid-19 terhadap perniagaan serta golongan berpendapatan rendah dan sederhana, majikan boleh membuat tuntutan sebanyak RM600 hingga RM1,200 bagi tempoh tiga bulan untuk setiap pekerja berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah. Bagaimanapun, majikan tidak boleh membuang pekerja, memotong gaji mahupun mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program itu dilaksanakan.

Menurut Ng, kedai telefon bimbit kecil rata-rata menggaji seorang atau dua pekerja, yang tidak memenuhi syarat permohonan program. Ramai peniaga bimbang mereka hanya dapat bertahan untuk tiga bulan, walaupun dengan bantuan kerajaan.

“Pandemik ini tidak pasti bila akan berakhir. Kerajaan juga tidak menyenaraikan kedai telefon bimbit dalam perniagaan yang boleh dibenarkan beroperasi semula semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Peniaga menunggu dan terus menunggu bila boleh mula berniaga semula, tetapi sampai sekarang masih belum ada kepastian,” kata Ng.

Kos operasi bagi kedai telefon bimbit tidaklah setinggi seperti perniagaan lain, tetapi upah pekerja adalah rendah. Bagi sebuah kedai telefon di Lembah Klang dengan lima pekerja, seorang kerani dan pekerja logistik, kos operasi adalah sekitar RM30,000 sebulan, tambahnya.

Sekalipun jika menerima bantuan subsidi upah, peniaga masih berdepan masalah dengan pemilik kedai atau pusat membeli-belah yang tidak mahu mengecualikan atau memberi diskaun sewa bulanan, kata Ng.

Tetapi jika kedai telefon bimbit gulung tikar, pemilik kedai ini juga secara tidak langsung akan hilang pendapatan jangka panjang, tambahnya. – 28 April, 2020.   

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen