Semakin ramai jadi gelandangan akibat hilang kerja, kata DBKL


Ravin Palanisamy

Gelandangan di Dewan Serbaguna Sentul Perdana, antara tujuh penempatan sementara yang disediakan oleh DBKL sebagai tempat berlindung golongan ini sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2020.

SEMAKIN ramai orang menjadi gelandangan akibat hilang pekerjaan, menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyelamatkan golongan ini dalam usaha membendung pandemik Covid-19.

Gelandangan ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka hilang punca pendapatan selepas hilang kerja yang gajinya tidak seberapa. Mereka tidak mampu membayar sewa rumah atau bilik, sekaligus menjadikan mereka tidak berumah.

Sumber DBKL yang terlibat mengumpulkan gelandangan berkata gelandangan ini gembira diberi tempat tinggal sementara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana selain mendapat tempat berteduh, mereka juga diberi makan tiga kali sehari.

“Sejak kita buka pusat penempatan sementara, gelandangan ini tahu mereka dapat tempat tinggal dan juga diberi makan,” kata sumber itu.

DBKL kini dalam usaha menyelamatkan kira-kira 300 gelandangan lagi untuk ditempatkan di tujuh penempatan sementara di sekitar Kuala Lumpur. Setakat ini, seramai 638 orang berjaya ditempatkan.

Bagi sesetengah gelandangan, pusat penempatan ini merupakan tempat paling selamat sementara wabak Covid-19 dapat dikawal, menurut sumber itu lagi.

Katanya, kumpulan gelandangan baharu yang akan dibawa ke pusat penempatan sementara bukanlah gelandangan tegar, tetapi yang tiada pilihan lain selepas hilang pekerjaan semasa PKP.

“Dengan pertambahan gelandangan dalam beberapa hari akan datang, bilangan yang kita selamatkan mungkin mencecah 1,000 orang,” kata sumber itu.

Setakat ini DBKL mendirikan tujuh penempatan sementara untuk dijadikan transit gelandangan sepanjang PKP yang kini masuk fasa ketiga. PKP dijadual berakhir 28 April ini.

Tujuh penempatan sementara ini terletak di Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir, Dewan Serbaguna Sentul Perdana, Pusat Komuniti  Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras, Kompleks Sukan Desa Tasik, Kompleks Sukan Seri Delima dan sebuah penempatan baharu di Masjid India yang kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD). 

DBKL juga bercadang untuk menambah tiga lagi pusat penempatan sementara ekoran pertambahan gelandangan.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa minggu lalu mengumumkan golongan gelandangan akan ditawarkan bekerja di sektor perkilangan atau pekerja am selepas PKP ditamatkan.

“Mereka tidak akan dilepaskan untuk bergelandangan lagi. Mereka akan jalani latihan, saringan dan kesesuaian.

“Mereka dijangka memulakan kerja pada 1 Mei namun bergantung kepada tempoh PKP sama ada dilanjutkan atau tamat,” katanya pada sidang media yang disiarkan langsung di Facebook minggu lalu.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang sehingga kini menjangkiti 5,251 orang dan menyebabkan 86 kematian di negara ini. – 18 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen