DBKL akan pulang deposit peniaga bazar Ramadan, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Ini susulan MKN memutuskan sebarang bentuk bazar Ramadan bagi tahun ini tidak dibenarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2020.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memulangkan deposit peniaga bazar Ramadan yang dilarang berniaga susulan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menetri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

“DBKL akan memulangkan semua deposit dan sebagainya yang melibatkan peniaga-peniaga bazar Ramadan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa semalam berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan sebarang bentuk bazar Ramadan bagi tahun ini tidak dibenarkan, termasuk jualan secara tempah dan ambil bagi membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun kaedah jualan makanan menggunakan khidmat penghantaran e-hailing dibenarkan.

“Keputusan dibuat selepas mengambil kira semua faktor dan keadaan semasa,” kata Annuar.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu melarang bazar Ramadan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan yang akan berakhir pada 28 April.

Muhyiddin berkata keputusan itu muktamad walaupun Kementerian Wilayah Persekutuan sudah bersiap sedia dengan rancangannya untuk membina tapak bazar. – 17 April, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen