KEPUTUSAN pemilihan Muktamar PAS ke-63 hari ini menyaksikan hampir kesemua penyandangnya dikekalkan, mengulangi sokongan terhadap kepimpinan yang menjadikan parti itu lebih
konservatif dan agresif terhadap rakan pembangkang.
Ketiga-tiga naib presiden, Idris Ahmad, Iskandar Abdul Samad dan Mohd Amar Abdullah berjaya mengekalkan jawatan masing-masing semasa parti mengumumkan keputusan pemilihan di Alor Star, Kedah, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Wan Abdul Mutalib Embong mengumumkan Idris berjaya memperoleh 1,062 undi, Amar (950) dan Iskandar (703).
Pemilihan naib presiden menjadi perhatian muktamar yang berlangsung di Kota Sarang Semut, selepas Presiden Abdul Hadi Awang, dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding.
Selain itu, di peringkat jawatankuasa PAS Pusat seramai 26 calon merebut 18 jawatan dipertandingkan dan kebanyakan penyandang meraih kemenangan mudah seperti Dr Mohd Aman Razali dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Daripada 18 jawatankuasa kerja PAS Pusat itu, 14 penyandang kekal dan empat muka baru.
Pemilihan turut menyaksikan bekas ketua Pemuda Nik Abduh Nik Aziz mendapat undian paling tinggi sebanyak 1,005 undi.
Seramai 1,231 perwakilan mengundi pada pemilihan muktamar kali ini yang bermula pada Jumaat lalu dan berakhir hari ini. – 1 Mei, 2017.
.jpg)
Komen