AHLI Parlimen pembangkang mendesak Rina Harun menjelaskan mengenai agihan bakul makanan bencana Covid-19 yang sehingga kini masih belum di kawasan mereka.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata menteri pembangunan wanita dan keluarga itu perlu menjelaskan perkara itu kerana banyak kawasan pembangkang belum menerima pek bantuan tersebut.
Ahli parlimen Segambut itu berkata Rina perlu menjelaskannya segera kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudahpun masuk tahap ketiga dan banyak golongan B40 belum menerima bantuan.
“1,000 bakul makanan yang dijanjikan oleh kerajaan untuk diagihkan kepada rakyat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke kawasan Parlimen tidak berjalan seperti yang diharapkan.
“Terdapat sekurang-kurangnya 54 kawasan Parlimen pembangkang yang masih belum menerima sebarang bantuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ia menunjukkan wujud layanan tidak adil sedangkan Rina sepatutnya menjalankan persediaan agar bantuan itu diagih seadilnya.
“(Rina perlu) segera memperbaiki sistem pengagihan bakul makanan ini tanpa melakukan pemberian terpilih dan tidak mengambil kesempatan di atas kerja keras warga JKM serta menjadikan mereka dalam keadaan serba salah,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Kawan Kasturi Patto pula menyatakan rasa kecewa kerana kerajaan masih bermain politik dengan mengenepikan pembangkang untuk mengagih bantuan bencarna tersebut.
Ini kerana, bantuan 1,000 bakul makan untuk setiap kawasan Parlimen itu hanya akan diagih melalui pemimpin parti dan bukannya ahli Parlimen.
“Sangat kecewa kerana dalam masa seperti ini, mereka masih bermain politik partisan, politik kotor, terutama terhadap ahli Parlimen pembangkang. Akhirnya rakyat masih ternanti bantuan,” katanya.
Katanya, beliau terkejut apabila mengetahui senarai nama penerima di kawasannya tidak diterima untuk agihan bantuah tersebut oleh JKM.
Beliau berkata sewaktu mesyuarat di pejabat daerah Seberang Perai Selatan hari ini, beliau diberitahu penerima agihan tersebut diuruskan dua ahli Parlimen Umno Reezal Merican dan Mansor Othman.
“Selepas pemeriksaan atau sokongan dari Reezal Merican, senarai itu akan perli kepada Rina Harun… dan kemudian JKM akan diberi kebenaran untuk agihan,” katanya.
Oleh itu, bantuan berkenaan masih disalur melalui parti politik seperti PAS dan Umno sedangkan bakul makanan itu disalurkan dari Kementerian Kewangan dan bukan parti politik, katanya. – 17 April, 2020.
Komen