PENGHANTAR makanan di bandar kecil dibenarkan menghantar makanan kepada pelanggan pada bulan Ramadan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Perkhidmatan menghantar makanan tidak hanya terhad kepada syarikat besar kerana mereka mungkin tidak beroperasi di bandar kecil, tambah beliau.
“Di bandar kecil mereka mungkin mempunyai syarikat sendiri yang membuat penghantaran makanan, ataupun individu-individu yang diupah untuk menghantar makanan.
“Mereka juga termasuk dalam keputusan kita juga dibenarkan beroperasi,” kata Ismail Sabri dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata penghantar makanan mesti menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik dan hospital.
“Demi menjaga keselamatan penghantar makanan ini, kita memutuskan supaya mereka mesti menjalani saringan kesihatan. Dan saringan kesihatan boleh dilakukan di mana-mana, di klinik kesihatan (kerajaan ) ataupun di klinik swasta di daerah masing-masing.
“Kita mahu menjaga kesihatan mereka sebab kita tahu mereka adalah orang yang akan menghantar secara terus makanan kepada pelanggan mereka. Tentulah akan berlaku keadaan bersemuka dengan pelanggan yang memesan makanan,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri berkata perkhidmatan makanan syarikat e-hailing dibenarkan terus beroperasi semasa Ramadan.
Putrajaya semalam memutuskan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang perintah kawawaln pergerakan termasuk pandu lalu atau tempah serta ambil untuk mengelak sebarang perhimpunan ramai. – 17 April, 2020.
Komen