DURIAN yang kini berbuah untuk musim keduanya-sesuatu yang sangat jarang berlaku- semakin menjunam harganya, mengembirakan pencinta “Raja Buah” itu walaupun pengusaha durian masih terus berharap “durian runtuh” akan berlaku ketika harganya semakin jatuh, sederas durian gugur daripada pokok.
Beberapa bulan lalu, harga sekilo durian Musang King boleh mencecah RM100 berbeza dengan sekarang yang hanya berharga antara RM55 hingga RM65 sekilo, kata Wong Jee Min, pengerusi Persatuan Dusun Buah Pulau Pinang.
Begitu juga harga untuk durian “Ang Heh”, “Orchi” dan “Hor Lor” yang banyak ditanam di dusun buah-buahan terdapat di negeri itu, kata Wong.
Pemilik dusun dan penjual durian tahun ini menerima rahmat apabila wujud tuaian kali kedua, berita baik untuk semua penggemar durian, tetapi Wong mengatakan pemilik dusun kini berdepan dengan penurunan jualan selepas banjir terburuk melanda negeri itu awal bulan ini.
Ribut pada 4 dan 5 November itu menyebabkan angin kuat dan mencatatkan penurunan hujan terbanyak dalam tempoh hanya setengah hari, seterusnya menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh dan menumbangkan pokok di seluruh negeri. Lebih 12,500 penduduk terpaksa dipindahkan.
Wong mengatakan dusun sekitar negeri itu kehilangan sekurang-kurangnya 500 batang pokok durian disebabkan ribut itu, tetapi kesan terburuk ribut adalah permintaan yang berkurangan.
“Pasaran durian Pulau Pinang bukan untuk dieksport. Ia bergantung kepada pembelian dalam negeri,” kata Wong.
“Sekarang, ramai penduduk Pulau Pinang terpaksa mengeluarkan duit untuk membaiki kereta dan rumah mereka.
“Siapa ada duit untuk durian?” katanya.
Katanya juga, durian yang masak sebaik-baiknya dijual dan dimakan dalam tempoh 12 jam selepas gugur, dan yang tak boleh dijual ketika masih segar akan jatuh harganya.
“Durian dalam keadaan terbaik pada 12 jam pertama. Jika saya tak boleh jual dalam tempoh itu, saya terpaksa turunkan harga sebab isinya sudah berair,” katanya.

Berita palsu “penolakan China”
Saat mereka berdepan dengan kelembapan jualan, Wong mengatakan berita palsu yang China menolak durian Musang King dari Malaysia memburukkan keadaan.
Dia merujuk kepada mesej tular berbunyi: “China menolak hampir 20 kontena durian Musang King disebabkan tahap tinggi racun serangga perosak dikesan dalam buah itu dan semua durian itu dipulangkan kembali ke Malaysia dan dijual dengan harga murah RM30 sekilo di Raub dan Bentong.”
Pengusaha dan penjual durian sudah menafikan tuduhan itu, malah penganjur Festival Durian Malaysia 2017 Dominic Su dan penyelaras festival Robin Wong juga mengeluarkan kenyataan pada Ahad mengatakan China masih belum membenarkan Malaysia mengeksport buah durian tanpa dikopek ke negara itu.
“Ada orang sengaja mahu beri reputasi buruk kepada durian Malaysia,” kata Wong menambah yang persatuannya sedang mempertimbangkan memfailkan aduan dengan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SPRM) berkenaan mesej palsu itu.
Pendapat Wong turut dikongsi oleh Yeoh Hooi Chooi, 69, yang menjual durian di Taman Chai Leng, Prai.
“Mesej tular itu mencadangkan durian yang tak diterima dibawa balik dari China untuk dijual murah di Malaysia. Dengan kos perkapalan, mana mungkin itu benar,”
Yeoh yang memiliki dusun buah di Pengkalan Hulu, Perak berkata dia menjual Musang King pada harga RM58 sekilo dan terkesan dengan penurunan jualan sejak beberapa bulan lepas.
“Susah berniaga, jatuh 20% sampai 30%. Dah jatuh sejak 2015 bila harga makin naik sebab durian kurang,” kata Yeoh.
“Mungkin pelancong China buatkan harga naik, tetapi hakikatnya pelanggan tempatan sekarang yang kurang berbelanja untuk durian.” – 21 November, 2017.
Komen