DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses menyelamatkan kira-kira 300 gelandangan yang masih terkandas di jalanan di tengah ibu kota.
Setakat ini, 638 gelandangan sudah pun berada di tempat perlindungan disediakan.
Mereka dikumpulkan bagi memberikan mereka tempat tinggal dan makanan sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Ia juga bagi mengelak mereka dijangkiti Covid-19.
Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Bandar DBKL Anwar Mohd Zain berkata operasi menyelamat baki gelandangan akan dilakukan dalam tempoh beberapa hari ini.
“Kita tidak tahu jumlah tepat tetapi saya rasa masih ada antara 200 hingga 300 gelandangan di luar sana.
“Dalam beberapa hari lagi, kita akan buat satu lagi operasi dan bawa mereka ke tempat perlindungan sementara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
DBKL memulakan operasi menyelamatkan gelandangan pada 26 Mac sebagai antara usaha membendung wabak Covid-19, dan setakat ini mereka dapat mengumpulkan 638 gelandangan.
DBKL membuka tujuh tempat perlindungan sementara untuk gelandangan sepanjang tempoh PKP.

Anwar berkata DBKL merancang membuka lebih banyak lagi tempat perlindungan dan pelaksanaannya sedang dilakukan.
“Kita sudah kenal pasti tempat perlindungan sementara berkenaan. Bergantung kepada operasi dan jumlah, kita akan buka lebih banyak tempat perlindungan,” katanya.
DBKL mengasingkan tempat perlindungan kepada empat kategori: sihat, tidak sihat, warga asing dan zon merah.
Terdapat tiga tempat perlindungan di bawah kategori sihat – dewan masyarakat Tasik Ampang Hilir (105 orang), pusat komuniti Sentul Perdana (179 orang) dan kompleks sukan Desa Tasik (50 orang).
Dewan komuniti Setiawangsa (108 orang) dan kompleks sukan Seri Delima (45 orang) tempat perlindungan bagi kategori tidak sihat.
Warga asing (71 orang) ditempatkan di dewan serbaguna Alam Damai Cheras sementara satu tempat perlindungan dibuka di Masjid India iaitu kategori zon merah, iaitu seramai 79 orang.
Anwar berkata empat kanak-kanak diselamatkan dalam operasi itu, dan mereka ditempatkan di dua tempat perlindungan bersama keluarga masing-masing.
“Ada seorang kanak-kanak di Sentul Perdana dan tiga di Alam Damai, termasuk seorang bayi. Semua bersama keluarga,” katanya.
Katanya, semua pegawai penguatkuasa yang bertugas akan mematuhi prosedur digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan semua gelandangan perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
Kembara Kitchen, satu kumpulan persatuan sivil yang memberikan makanan percuma di ibu kota, menyediakan makanan kepada gelandangan, iaitu enam hidangan sehari. – 17 April, 2020.
Komen