JUMLAH orang terlalu ramai tinggal berhimpit dalam satu rumah antara sebab mengapa Lembah Pantai di Kuala Lumpur direkodkan sebagai kawasan dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi dalam tempoh dua minggu lalu, kata pakar kesihatan umum.
Kurang maklumat di kawasan tetentu di mana jangkitan dilaporkan menjadikan ia persekitaran kondusif untuk penularan koronavirus.
Lembah Pantai, kini diklasifikasikan sebagai “zon merah”, penduduknya ramai di dalam satu rumah dengan keadaan sanitasi yang teruk, kata CEO Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib kepada The Malaysian Insight.
“Kebanyakan daripada mereka miskin bandar, menjadikan langkah penjarakan sosial sukar dilakukan.
“Kombinasi faktor ini menyebabkan ia menjadi persekitaran kondusif untuk penularan koronavirus,” katanya.
Label zon merah untuk Lembah Pantai bukan saja untuk kawasan Parlimen itu tetapi termasuk Seputeh dan Bukit Bintang.
Ia termasuk kawasan mewah seperti Bangsar dan Damansara, dan juga kumpulan B40 dengan adanya banyak rumah PPR dan rumah pangsa kos rendah.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata lonjakan jumlah kes di situ adalah angka kumulatif jangkitan dari kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di dalam zon itu.
Setakat petang semalam, zon di tengah ibu kota itu melaporkan 592 kes.

Kurang maklumat
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil memberitahu The Malaysian Insight kurang maklumat diberikan tentang kawasan jangkitan dalam zon merah.
“Kita tidak ada maklumat mencukupi tentang di mana lokaliti khusus ini berada walaupun Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengeluarkan infografik, pecahan secara kasar, mengikut kawasan Parlimen,” katanya.
Menurut infografik itu, kawasan Parlimen Lembah Pantai ada 33 kes setakat 8 April sementara sejumlah besar kes dari Seputeh yang melaporkan 321 kes, sementara 63 kes di Bukit Bintang.
Keengganan pihak berkuasa menamakan kawasan kes secara khusus menjadi penduduk cemas dan tidak selesa, kata Fahmi.
Katanya, ini mungkin menyebabkan penduduk keluar dari kawasan mereka di mana ia akan menggagalkan tujuan perintah kawalan pergerakan (PKP.
PKP bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, yang setakat ini melaporkan 5,182 kes jangkitan dan 84 kematian. PKP kini dalam fasa ketiga dan dijadualkan berakhir 28 April.
“Pada masa sama, perlu ada komunikasi untuk memastika penduduk faham apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, dan apa berlaku jika terdapat kes positif di kawasan tertentu,” katanya.
Fahmi berkata ada sebahagian pengurusan bangunan kediaman yang masih tidak tahu prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia tentang apa perlu dilakukan jika ada kes positif dilaporkan di kawasan mereka, terutama berkenaan sanitasi. – 17 April, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen