PUSAT kecergasan dan gimnasium tidak menghentikan operasi sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) sebaliknya memindahkan sesi latihan ke rumah melalui pelbagai platform menggunakan Internet.
Beberapa jurulatih kecergasan yang dihubungi The Malaysian Insight berkata mereka memulakan kelas latihan melalui Internet supaya pelanggan dapat mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan.
Malah, mereka melakukan senaman dengan keamatan tinggi, yang hampir serupa seperti berlatih di gimnasium.
Jurulatih kecergasan Muhamad Hakimee Mohd Isa berkata gimnasium tempat beliau bekerja di Bayan Lepas, Pulau Pinang mengarahkan semua jurulatih peribadi membuka sesi latihan menggunakan aplikasi Zoom.
Latihan itu diberikan percuma, tidak terhad kepada ahli berbayar gimnasium sebaliknya terbuka kepada semua, kata graduan sains sukan Universiti Sains Malaysia itu.
“Gaji kami masih dibayar walaupun tidak perlu ke gimnasium untuk bekerja. Tetapi setiap hari kami adakan latihan dalam talian termasuk kepada yang bukan ahli.
“Kita ada 1,001 jenis senaman untuk kekal aktif. Tak bermakna kita tidak dibenarkan keluar (rumah) waktu PKP, kita tidak boleh buat apa-apa.
“Saya juga sediakan beberapa video di laman sosial Instagram untuk didik dan ajar pengikut saya dengan beberapa pelbagai jenis senaman berintensiti tinggi dengan ruang dan peralatan yang minimum,” katanya.
Beliau mengakui latihan dalam talian ini sedang menjadi kebiasaan baharu sejak PKP berjalan, yang akan menggantikan cara orang mengekalkan kecergasan di gimnasium.
“Gimnasium tempat saya bekerja pun sedang menyusun bagaimana memastikan jarak yang selamat antara pelanggan apabila dibuka nanti, termasuk hadkan orang yang boleh guna gimnasium supaya tidak sesak,” tambahnya.
Sebuah pusat kecergasan di Jitra, Kedah, pula menganjurkan kelas berkelompok serta memantau perkembangan kemajuan pelatih mereka melalui WhatsApp, terutama mereka yang ada masalah akses Internet.
“Kita adakan ujian kecergasan dua kali seminggu. Selepas satu ujian, kita minta mereka bagi rekod supaya kita boleh pantau,” kata pengusahanya Siti Jameelah Md Japilus.
Beliau berkata fokus mereka ialah memastikan pelanggan mereka tetap aktif walaupun tidak dapat ke mana-mana kerana PKP.
Siti Jameelah yang juga pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, berkata walaupun tanpa peralatan seperti di gimnasium, mereka masih menganjurkan latihan angkat berat dengan ganti perkakas dan barangan yang ada di rumah.
“Setiap tiga hari, kita buat cabaran kepada ahli dan mereka akan ikut apa yang diarahkan. Kelas secara maya pula lebih kurang 10 orang mengikuti kelas itu.
“Untuk senaman yang perlukan pemberat, kita minta mereka gantikan dengan botol air, tong gas atau beg berisi buku.
“Ada juga beberapa peralatan di gimnasium, kita pinjamkan kepada mereka sebab kalau tinggal di gimnasium pun tiada orang guna,” tambahnya.
Menurut Siti Jameelah, latihan dalam talian begini bagaimanapun tidak membantu pelatih yang mahukan latihan khusus secara peribadi, yang juga merupakan sumber pendapatan bagi jurulatih.
“Waktu PKP ini tidak dapat buat, itulah yang memberi kesan kepada kami. Bagi pelanggan yang sudah bayar, kita akan teruskan latihan mereka selepas PKP berakhir,” katanya.
Siti Jameelah berkata pihaknya mempunyai sehingga 20 klien yang memerlukan latihan peribadi sepanjang tempoh PKP.
“Susah untuk berlatih melalui video, mereka sendiri tidak mahu kerana latihan ini perlukan pemantauan yang rapi dan komunikasi dengan jurulatih.
“Cuma kita gantikan dengan beberapa video senaman ringan yang boleh dilakukan di rumah,” katanya.
PKP yang bermula pada 18 Mac kini memasuki fasa ketiga apabila dilanjutkan sehingga 28 April, menjadikan keseluruhan tempoh berkurung setakat ini enam minggu.
Pusat kecergasan dan gimnasium merupakan antara premis yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan kepada pengusahanya serta jurulatih yang bergantung pada komisyen mengikut jumlah pelatih.
Sementara itu, pengusaha sebuah gimnasium di Butterworth, Pulau Pinang, Mohamed Thaufiq Ali berkata latihan dalam talian tidak memberikan kepuasan seperti berlatih di gimnasium.
“Berkesan atau tidak juga terpulang kepada tahap motivasi individu. Kalau berlatih beramai-ramai, jurulatih pun ada, motivasi untuk berlatih lebih tinggi dan mereka juga tidak mahu rugi, sebab sudah bayar,” katanya.
Sepanjang PKP ini Thaufiq membuat kelas dalam latihan walaupun tidak ramai pelatih yang mengikutinya serta berkongsi video senaman ringkas atau menu makanan sihat melalui kumpulan WhatsApp.
“Kita tetap kena jaga hubungan dengan mereka (pelatih). Saya mahu kesihatan dan kecergasan mereka terus dijaga… yang paling penting, berpeluh,” katanya.
Namun Thaufiq berharap PKP tidak dilanjutkan lagi selepas ini kerana perniagaannya terjejas. Beliau kini masih perlu membayar kos operasi walaupun tanpa pendapatan.
“Kita tiada pendapatan langsung. Saya pula perlu bayar gaji pekerja, sewa premis, dan tanggung bayaran ahli untuk mengadakan sesi latihan.
“Kita tiada sistem bayaran balik kepada pelanggan dan mungkin, kita akan lanjutkan keahlian mereka selepas PKP ini,” tambahnya.
Pengusaha gimnasium di Sungai Petani, Kedah, Samsul Hutha pula berkata syarikatnya kini bergantung pada wang simpanan yang boleh bertahan hingga dua bulan saja lagi.
“Kita perlu bayar gaji pekerja seperti kerani dan jurulatih peribadi. Sewa kedai pun RM1,500 sebulan, kita ada empat kedai.
“Kalau PKP sambung lagi, memang kita akan hadapi kesusahan,” katanya. – 17 April, 2020.
Komen