Covid-19 punca pekerja asing terdesak, hilang kerja, kata kumpulan sivil


Sheridan Mahavera

Kerajaan dan majikan diminta bekerjasama untuk menyelesaikan masalah lambakan pekerja asing selepas kemelesetan akibat wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2020.

TALIAN untuk membantu pekerja asing dan pelarian tidak berhenti berdering sejak Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani koronavirus yang menjejaskan lebih 5,000 orang.

Ketika PKP memasuki fasa ketiga minggu ini, kumpulan masyarakat sivil Tenaganita, yang menguruskan talian bantuan itu menjangkakan lebih banyak panggilan akan diterima.

Ia merupakan panggilan daripada pekerja asing yang diabaikan majikan di Malaysia dan memohon bantuan makanan. 

Pembantu rumah warga asing turut menghubungi talian berkenaan kerana berasa tidak selamat selepas terpaksa berkurung dengan keluarga majikan. 

Itu hanyalah sebahagian daripada 3 juta pekerja asing yang menghubungi Tenaganita, kata pengarah eksekutifnya Glorene A Das.

Selepas dilanda kemelesetan dan banyak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja, Malaysia akan menyaksikan jutaan individu yang kelaparan, marah dan terdesak, kata Tenaganita dan kesatuan yang membantu mereka.

“Pekerja asing kini diambang krisis. Pekerjaan sudah tiada, mereka tidak boleh pulang ke negara asal dan hanya sedikit bantuan diberikan kerajaan kepada mereka,” kata Das.

Apa yang menjadi kebimbangan adalah pekerja ini akan bersaing dengan warga tempatan yang turut kehilangan kerja dan mempunyai peluang yang tipis untuk menjana pendapatan ketika kemelesetan, kata Das.

Ramai pekerja asing yang terjejas kerana hilang pekerjaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2020.

“Adakah wujud pekerjaan untuk mereka selepas PKP? Antara warga asing dan pekerja tempatan, siapa yang jadi pilihan majikan?

“Adakah warga tempatan mampu menerima pekerjaan 3D (dirty (kotor), dangerous (bahaya), difficult (sukar) yang dilakukan pekerja asing?”

Putrajaya perlu sedia untuk menghantar pekerja asing ini kembali ke negara asal, sama ada yang memiliki dokumen perjalanan atau tidak, atau bekerja di sektor swasta bagi memastikan mereka terus menjana pendapatan, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

“MTUC mencadangkan kerajaan dan majikan mencari alternatif untuk mulakan semula segelintir industri dan memastikan mereka mematuhi prosedur kesihatan yang ketat,” kata Presiden MTUC Abdul Halim Mansor. 

“Sekiranya ia tidak dilakukan kerajaan dan majikan dengan kerjasama suruhanjaya asing perlu hantar mereka pulang,” kata Abdul Halim kepada The Malaysian Insight.

“Pekerja asing ini terperangkap. Mereka tiada pendapatan, mereka hanya ada sedikit makanan dan mereka berisiko dihalau dari asrama mereka kerana tidak mampu bayar sewa.”

Pelan kontigensi

Pada Mac 2019, kajian Bank Dunia menganggarkan pada 2017, jumlah pekerja asing di Malaysia adalah antara 2.96 juta hingga 3.26 juta orang. 

Daripada jumlah ini, jumlah pekerja asing tanpa dokumen perjalanan sah adalah antara 1.23 juta dan 1.46 juta. 

Menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), syarikat yang membawa pekerja asing juga bertanggungjawab untuk menghantar mereka pulang sekiranya mereka tidak mampu sediakan pekerjaan.

Dari segi undang-undang, warga asing di sesebuah syarikat perlu dihantar pulang terlebih dahulu sebelum syarikat itu boleh memberhentikan pekerja warga Malaysia, kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsudin Bardan.

“Ketika krisis kewangan 1998, kerajaan menghantar pulang kira-kira 800,000 pekerja asing,” kata Shamsudin kepada The Malaysian Insight.

“Setakat Mac, syarikat tempatan sudah menghantar pulang antara 3,500 dan 4,000 warga asing namun ini kerana kelembaoan ekonomi dan bukan kerana PKP dan koronavirus.”

MEF tidak dapat menganggarkan sama ada berlaku pemberhentian kerja kerana ia bergantung kepada berapa lama PKP dilanjutkan dan berapa pantas perniagaan boleh pulih selepas PKP. 

Kerajaan Perikatan Nasional memperuntukkan RM260 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menutup operasi ketika PKP. 

Dana itu bertujuan untuk membantu PKS, yang menggaji lebih 60% pekerja, warga asing dan tempatan, mengekalkan aliran tunai dan membayar overhead ketika PKP dan beberapa bulan pertama selepas itu.

Pekerja asing semakin terdesak dan tiada pilihan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight. 17 April, 2020.

Pakej itu termasuk menambah baik subsidi upah bagi membantu PKS membiaya 4.8 juta pekerja PKS. 

Namun, walaupundengan bantuan ini, persatuan PKS menjangkakan perniagaan yang merudum akan memaksa kira-kira 20% syarikat gulung tikar dan memberhentikan pekerja mereka. 

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan kira-kira 2.4 juta daripada 14 juta pekerja akan diberhentikan kerana pandemik itu. 

Kira-kira 67% daripada pekerjaan ini tidak perlukan kemahiran yang menjadi tumpuan warga asing di negara ini. 

Seboleh-bolehnya, syarikat yang mengupah pekerja asing tidak mahu menghantar mereka pulang kerana mereka telah melabur sekitar RM10,000 bagi setiap pekerja untuk membawanya ke sini sejak awal, kata Shamsudin.

“Ini sebabnya MEF mencadangkan kita longgarkan sekatan dan bukan semula beberapa industri terutamanya yang berorientasikan eksport namun kita pastikan mereka kekalkan penjarakan sosial.

“Majikan pula perlu terbuka untuk menjalankan ujian antibodi sebagaimana yag dicadangkan bekas kementerian kesihatan bagi memastikan mereka yang boleh bekerja.”

Sebagai pelan kontigensi, Das dari Tenaganita mencadangkan kerajaan untuk menyimpan stok bekalan makanan penting bagi keperluan mereka yang kehilangan kerja selepas PKP. 

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Setakat semalam, 5,182 orang dijangkiti wabak itu dengan 84 kematian dilaporkan. PKP kini memasuki fasa ketiga yang akan berakhir pada 28 April. – 17 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen