Rumah orang tua dipantau elak jangkitan Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Rumah orang tua di seluruh negara dipantau bagi mengelak jangkitan kerana risiko tinggi golongan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan sedang bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memantau rumah orang tua kerana risiko tinggi penghuninya terdedah kepada Covid-19.

Banyak negara luar melaporkan kadar kematian tinggi di rumah orang tua kerana wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mencari kaedah terbaik melakukan saringan ke atas warga emas terutama sekali yang berada di rumah penjagaan yang sesak.

Katanya, kedua-dua kementerian akan mengeluarkan garis panduan Covid-19 untuk rumah orang tua persendirian, kerajaan dan diuruskan badan kebajikan dalam masa terdekat.

Infografik tentang langkah pencegahan jangkitan Covid-19 juga sudah diedar kepada 344 pusat penjagaan berdaftar.

Malaysia merekodkan 110 kes baharu hari ini, membawa kepada jumlah jangkitan 5,182 kes.

Satu kematian dilaporkan menjadikan jumlah korban wabak setakat ini seramai 84 orang.

119 pesakit pula disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital, membawa kepada jumlah kes pulih seluruh negara adalah 2,766 kes atau 53.4% daripada jumlah keseluruhan kes. – 16 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen