315 kanak-kanak berusia bawah 14 tahun diuji positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Mendedahkan pecahan kes, Dr Noor Hisham berkata, 83 daripada mereka berumur bawah empat tahun dan 83 orang lagi berusia antara 5 dan 9 tahun.
149 orang pula berusia antara 10 sehingga 14 tahun.
“Biasanya, kanak-kanak dijangkiti bersama-sama ahli keluarga mereka, sama ada melalui emak atau ayah.
“Jika mereka dijangkiti bersama keluarga mereka, kami akan tempatkan mereka bersama-sama (di hospital),” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Ibu bapa yang mempunyai anak positif Covid-19 tetapi tidak dijangkiti pula boleh menjaga anak-anak mereka dengan syarat memakai pakaian perlindungan kesihatan peribadi.
Malaysia merekodkan 110 kes baharu hari ini, membawa kepada jumlah jangkitan 5,182 kes.
Satu kematian dilaporkan menjadikan jumlah korban wabak setakat ini seramai 84 orang.
119 pesakit pula disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital, membawa kepada jumlah kes pulih seluruh negara adalah 2,766 kes atau 53.4% daripada jumlah keseluruhan kes. – 16 April, 2020.
Komen