Menteri Pengajian Tinggi dikritik 'bazirkan' PPE


Aminah Farid

Gambar yang dimuat naik di Twitter menunjukkan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad memakai peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk topeng muka, gaun pengasingan dan sarung tangan pembedahan mendapat kritikan di media sosial. – Gambar Twitter, 16 April, 2020.

MENTERI Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dikritik kali kedua dalam masa kurang dua minggu selepas menyiarkan gambarnya mengunjungi makmal universiti tempatan dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk topeng muka, gaun pengasingan dan sarung tangan pembedahan.

Menteri itu menulis di Twitter bahawa beliau mengunjungi makmal Covid-19 di Pusat Pakar Perubatan UiTM Sungai Buloh untuk melihat prosedur memproses sampel daripada Kementerian Kesihatan.

Tweet itu bagaimanapaun mendatangkan kemarahan ramai pengguna media sosial yang mempersoalkan kewajaran lawatannya ke makmal semasa tempoh perintah kawalan pergerakan.

Rata-rata memberi komen mengatakan pemakaian PPE tidak perlu oleh menteri kerana bekalan itu tidak mencukupi untuk kakitangan barisan hadapan berdepan Covid-19. 

“YB kenapa anda tidak menjalankan tugas menyelesaikan masalah dihadapi pelajar universiti daripada melihat apa yang kakitangan perubatan berkelayakan buat? Anda seharusnya menyelesaikan masalah pelajar bukan menambah kerja untuk menyusahkan orang?,” tulis seorang pengguna Twitter, Amethyst Chew.

Sementara itu Rahah Gazali menulis Twitternya bahawa lawatan menteri termasuk rakan-rakan VIP tidak diperlukan dan hanya menyebabkan pembaziran PPE yang sudah kekurangan bekalan.

Seorang lagi pengguna Twitter Lily Zali melahirkan rasa tidak puas hati dengan gambar yang dimuat naik oleh menteri berkenaan.

“Kenapa bazirkan barang berharga (PPE)? Saya mohon duduk sahaja di rumah. Ini tidak ada kaitan dengan portfolio anda. Walaupun Uitm, tidak perlu buat lawatan fizikal. Anda hanya boleh buat pembentangan dalam talian. Tolong berhenti buang masa dan sumber yang ada,”.

Pada Isnin Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bekalan PPE semasa dapat menampung pekerja kesihatan yang terlibat dalam memerangi Covid-19 sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Menurutnya ini kerana kadar penggunaan PPE meningkat 10 kali ganda dari penggunaan biasa.– 16 April, 2020.

Berita penuh di sini. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen