SEBANYAK 135 laporan melibatkan keganasan rumah tangga dibuat melalui Talian Kasih yang dikendalikan oleh kerajaan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini, seminggu selepas talian hotline diwujudkan.
Bercakap kepada wartawan, Ismail Sabri meminta orang ramai segera membuat laporan sekiranya mereka mengetahui ada yang didera oleh pasangan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Setakat ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menerima 135 laporan kes keganasan rumah tangga melalui talian hotline Talian Kasih kami.
“Sekiranya anda mengetahui sesiapa yang didera, jangan ragu untuk menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau Whatsapp 0192615999.
“Jiran terutamanya harus peka dengan persekitaran. Jika anda mendengar sesuatu yang luar biasa, sila hubungi nombor itu,” kata Ismail Sabri.
Sebelum ini, sebuah akhbar Inggeris melaporkan Talian Kasih menyaksikan peningkatan panggilan sebanyak 57% atau 1,893 daripada wanita yang berada dalam kesulitan sehingga 26 Mac.
Bagaimanapun, kementerian menyangkal laporan itu dan berkata angka itu tidak benar.
“Kementerian ingin menegaskan kenaikan jumlah peratusan panggilan meliputi semua kategori, termasuk panggilan mengenai virus Covid-19, kes sokongan rujukan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kes kaunseling, dan lain-lain,” katanya dalam satu pernyataan.
Kementerian juga meminta agar orang ramai tidak salah tafsir angka yang dilaporkan oleh laporan berita tersebut.
“Sila rujuk sumber yang sah serta penjelasan menteri sebelum membuat kenyataan di saluran komunikasi apa pun,” tambahnya. – 16 April, 2020.
Komen