Perkhidmatan penghantaran makanan e-hailing masih diteruskan pada bulan Ramadan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“E-hailing akan berjalan seperti biasa. Sebenarnya perkhidmatan ini masih lagi berjalan,” katanya ketika diminta menjelaskan mengenai industri perkhidmatan penghantaran makanan e-hailing yang dihentikan.
“Apa yang diputuskan oleh kerajaan hari ini adalah perkhidmatan tempah dan ambil serta pandu lalu yang dilarang dibuat sepanjang Ramadan,” tambah Ismail.
Terdahulu Annuar berkata Majlis Keselamatan Nasional melarang semua bentuk alternatif bazar Ramadan termasuk perkhidmatan penghantaran makanan e-hailing.
Keputusan dibuat “setelah mempertimbangkan pelbagai faktor dan keadaan semasa”, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa di Twitter hari ini.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu melarang bazar Ramadan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan yang akan berakhir pada 28 April, seminggu selepas Ramadan bermula pada 23 April.
Beliau berkata keputusan itu adalah muktamad walaupun Kementerian Wilayah Persekutuan sudah bersiap sedia dengan rancangannya untuk membina tapak bazar.
Annuar sebelum ini berkata pegawai dari kementeriannya dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membentangkan konsep alternatif kepada panel Covid-19 hari ini.
“(Mereka ingin tahu) di mana lokasi pandu lalu, di mana gerai akan ditempatkan dan berapa ramai akan bekerja serta adakah penjarakan sosial akan dipatuhi,” katanya.
Sudah ada cadangan untuk bazar Ramadan pandu lalu dibuka di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan gerai-gerai ditempatkan sejauh 20 meter.
Mengenai konsep tempah dan ambil Annuar sebelumnya berkata orang ramai boleh membuat pesanan makanan dan membayar secara dalam talian kemudian mengambil makanan di kawasan yang ditentukan sementara perkhidmatan penghantaran makanan melalui e-hailing, pihak berkuasa akan menyelaraskan dengan pihak terlibat.
Beliau berkata kementerian sudah bertemu dengan 100 wakil persatuan peniaga dan penjaja berhubung perkara itu. – 16 April, 2020.
Komen