SUKARELAWAN yang menghantar makanan mempertaruhkan nyawa mereka setiap kali keluar menyalurkan bantuan yang sangat diperlukan kepada ratusan kampung dan rumah panjang terpencil di kawasan luar bandar Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri James Masing.
Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, seorang sukarelawan maut ketika menghantar barang keperluan asas ke penempatan di pedalaman negeri ini.
Masing Seliong, 35, dari Ulu Kanowit, lemas pada 7 April apabila botnya terbalik di kawasan Sungai Ensiring yang airnya naik selepas hujan lebat pada waktu petang.
Seliong menaiki bot itu bersama dua yang lain untuk menghantar beras ke sebuah rumah panjang terpencil di Nanga Nilau berhampiran Kanowit yang terletak lebih 200km dari Kuching. Rumah panjang itu berada di hulu sungai.
Dua rakannya berjaya menyelamatkan diri.
Di kawasan yang mempunyai “jalan” pula, bahaya masih ada kerana jalan ini tidak lebih sekadar jalan tanah merah dibuat oleh syarikat balak bagi mengangkut kayu balak.
Oleh kerana laluan balak ini mempunyai set “peraturan keselamatan” yang unik, hanya pemandu berpengalaman akan diupah untuk memandu di laluan tersebut.
“Ini adalah cabaran kami dalam menyampaikan pakej bantuan makanan ke rumah panjang di daerah saya,” kata Masing.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight terdapat kira-kira 200 rumah panjang di kawasannya Baleh di Kapit dan semua memerlukan bantuan makanan.
Penduduk rumah panjang juga terlibat dengan PKP yang dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk menghentikan penyebaran jangkitan Covid-19.
Biasanya penghuni rumah panjang akan mengumpulkan wang sesama mereka dan pergi ke bandar untuk membeli bekalan atau temu janji dengan doktor tetapi ia tidak dapat dilakukan sekarang kerana perjalanan berkumpulan dilarang semasa PKP.
Tambahan lagi perjalanan yang mengambil masa dua jam ke bandar terdekat, akan menelan belanja sebanyak RM100 untuk minyak, selain wang yang diperlukan untuk membeli barangan.
Masing berkata dalam beberapa keadaan, konvoi bekalan memerlukan tiga hingga empat jam untuk sampai ke beberapa rumah panjang walaupun jarak rumah panjang ini dari bandar Kapit hanya beberapa kilometer.
Katanya, perjalanan melalui jalan balak biasanya perlahan kerana ia berbahaya terutamanya selepas hujan lebat.
Melalui lereng curam lumpur yang licin sangat sukar kerana jalan ini tidak mempunyai rel keselamatan.
Silap sedikit sahaja akan mengakibatkan kenderaan dipandu tergelincir dari jalan dan jurang curam di kedua-dua sisi biasanya sedalam beberapa meter.
Walaupun begitu, Masing berkata pasukan penghantaran akan meneruskan apa yang dilakukan sejak beberapa hari lalu, tanpa mengira hujan atau panas.
“Saya sangat berterima kasih atas usaha membantu mereka yang memerlukan di tempat yang jauh,” kata Masing.
Di kawasan bandar, cabaran yang dihadapi oleh sukarelawan agak berbeza.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berdepan kesukaran untuk menyaluarkan bantuan kepada penduduk miskin bandar.
Dalam catatan di laman Facebook miliknya, beliau berkata mereka yang memerlukan di kampung dan rumah panjang di kawasannya mungkin lebih mudah dikenal pasti “kerana kita mempunyai senarainya”.
“Tetapi penduduk miskin bandar di Sibu, mereka tersebar di mana-mana, di bilik sewa di seluruh bandar,” kata Adun Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Nangka di bandar Sibu.
Beliau bahkan meminta bantuan penduduk Sibu peka dengan kejiranan masing-masing dan melaporkan kepada Pejabat Residen jika terdapat mereka yang memerlukan bantuan.
Terdapat kira-kira 31,000 isi rumah di bandar di tengah Sarawak yang layak mendapat bantuan makanan.
Sehingga semalam, terdapat 371 kes Covid-19 sejak kes positif pertama dikesan pada 13 Mac. Angka kematian di negeri ini adalah 14 orang. – 16 April, 2020.
Komen