PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin perlu menyebut pemulangan AS$300 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah usaha Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kata Ambiga Sreenevasan.
Awal hari ini Kementerian Kewangan mengeluarkan senarai dana yang merangkumi wang atau aset dikaitkan dengan 1MDB yang telah diperolehi semula dan dilucutkan atau diserahkan kepada Jabatan Kehakiman AS (DOJ).
Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan AS, terutamanya kedutaan negara itu di Kuala Lumpur, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Peguam Negara Idrus Harun.
Beliau juga berkata pemulangan AS$300 juta ini juga bermakna dana 1MDB yang sudah dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah AS$620 juta.
Ambiga yang merupakan bekas presiden Badan Peguam Malaysia mengkritik Putrajaya yang tidak mengakui usaha PH membawa balik wang 1MDB.
“Mengakulah. Kalau bukan kerana PH, yang dahulu Muhyiddin Yassin di dalamnya, kita mungkin tak akan dapat tengok wang ini dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya menerusi catatan di Twitter hari ini.
“Yang saya ingat, BN (Barisan Nasional) tak mahu mengaku wang ini dirompak dan enggan bekerjasama, dan hanya PH yang tidak beruputus asa mendapatkan wang ini,” kata bekas pengerusi Bersih itu dalam satu catatan lain. – 15 April, 2020.
Komen