PEMIMPIN kanan PAS mengakui kemungkinan wujudnya kesan negatif kepada parti apabila membuat keputusan memutuskan hubungan dengan sekutunya sejak sekian lama, PKR.
Bagaimanapun, Naib Presiden Nik Muhammad Amar Abdullah berkata terpulang kepada cara parti menanganinya dan menggesa semua pihak bersedia.
“Pada pandangan saya ada kesan positif dan negatif bergantung cara kita menanganinya,” katanya semasa sesi penggulunggan di Muktamar, di Kota Sarang Semut, Alor Star hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai usul putus tahaluf siyasi dengan PKR yang diluluskan dalam muktamar semalam.
Semalam usul tersebut diluluskan sebulat suara dan bakal dibawa ke Majlis Syura bagi keputusan muktamad.
Selain itu, beliau juga mengakui hubungan dengan PKR sebenarnya agak baik walaupun mempunyai isu berbangkit.
“Kita ada hubungan agak baik walau masam manis itu ada, tapi hubungan kita baik,” katanya. – 1 Mei, 2017.
Komen