PESAKIT positif Covid-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan akan tetap ditahan di hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, tempoh siasatan untuk mana-mana kes sah positif adalah 14 hari.
“Kita masih perlu jalankan ujian dan sekiranya pesakit positif kita perlu pastikan pesakit berada di hospital.
“Ini beza dengan negara lain. Jika anda tengok United Kingdom, Itali pesakit positif yang tidak bergejala atau bergejala ringan dinasihatkan berada di rumah,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata Malaysia meletakkan pesakit positif di hospital supaya pemantauan berkesan dapat dilakukan.
Beliau menjawab soalan berkaitan atlit negara, Jackie Wong, 27, yang sudah menghabiskan masa sebulan di wad isolasi di Hospital Sibu sejak 15 Mac lalu. Hasil ujian Wong beberapa kali tidak konsisten menyebabkan beliau masih ditahan di hospital.
Katanya lagi, 88% pesakit yang menerima rawatan kini adalah tidak bergejala atau bergejala ringan.
“Disebabkan pemantauan rapi dan rawatan diberikan, kita dapat lihat hasilnya lebih baik.”
Malaysia hari ini melaporkan 85 kes baharu Covid-19, pertama kali sejak sebulan lepas kurang 100 jangkitan baharu dalam 24 jam dilaporkan.
Sehingga sekarang, negara melaporkan 5,072 kes.
Seorang lagi terbunuh hari ini menjadikan jumlah kematian kepada 83 orang. – 15 April, 2020.
Komen