KKM sasar ujian saringan Covid-19 lebih 8,000 pelajar tahfiz


Noel Achariam Ragananthini Vethasalam

Setakat ini KKM sudah saring 1,736 pelajar tahfiz di madrasah, dan hasil saringan mendapati 217 orang didapati positif Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan ujian saringan ke atas pelajar tahfiz bagi membendung penularan wabak Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata KKM menerima maklumat bahawa seramai 8,616 pelajar tahfiz mungkin mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti Covid-19.

“Setakat ini kita sudah saring 1,736 pelajar di madrasah. Hasil saringan dilakukan 217 pelajar tahfiz didapati positif Covid-19. 

“Tetapi kebanyakan mereka pun sudah pulang ke rumah sebelum PKP. Kes yang positif ialah 217 kes, lebih kurang 10 peratus.

“Jadi kita akan bekerjasama dengan polis dan agensi berkuasa untuk membantu mengesan dan menjejaki pelajar tahfiz tersebut,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Isnin lalu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 195 kes Covid-19 yang dikesan di empat sub kluster yang ada kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Beliau hasil kerjasama rapat pegawai kesihatan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Seri Petaling, KKM telah mengenal pasti senarai terkini madrasah dan tahfiz bagi membantu pengesanan kontak rapat.

Empat sub kluster berkenaan terletak di Jerantut, Pahang; Penanti, Pulau Pinang; Sg Lui, Selangor; dan Jasin, Melaka.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 195 kes di empat sub kluster tersebur, seramai 92 orang pulih dan dibenarkan pulang.

Malaysia hari ini merekod 85 kes baharu Covid-19, menjadikannya kali pertama sejak sebulan lalu Malaysia mencatatkan kurang dari 100 kes baharu dalam masa 24 jam.

Setakat tengah hari tadi, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 5,072 kes.

Hanya satu kematian kerana Covid-19 dilaporkan hari ini, melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 69 tahun dengan sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi. – 15 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen