Sabah lepaskan lebih 17 juta anak penyu sejak 40 tahun lalu 


Jason Santos

Program konservasi penyu dilancarkan di Sabah sejak 40 tahun lalu menerusi penubuhan Taman Negara Pulau Penyu di Sandakan.– Gambar EPA, 20 November, 2017.

SABAH membebaskan lebih 17 juta anak penyu ke laut sejak program konservasi penyu dilancarkan di negeri itu sejak 40 tahun lalu. 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun berkata pencapaian itu dilaksanakan oleh Taman Sabah, menerusi penubuhan Taman Negara Pulau Penyu di Sandakan pada 1977.

Taman Negara Pulau Penyu itu terdiri daripada tiga buah pulau, iaitu Pulau Bakungan Kecil, Pulau Gulisan dan Pulau Selingan. 

“Sebuah ensiklopedia sedang dibuat antara Taman Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” kata Masidi selepas menandatangani memorandum persefahaman antara dua agensi, ketika sidang dewan undangan negeri di Kota Kinabalu hari ini. 

Kerjasama antara entiti berkaitan kerajaan itu bermula pada 2004. Lapan buah buku mengenai biodiversiti di negeri itu sudah diterbitkan setakat ini. 

“Buku terbabit ditulis oleh Jabatan Kajian dan Penyelidikan Taman Sabah dan disemak oleh DBP,’ kata Masidi. 

Pengarah Taman Sabah Dr Jamili Nais dan pengarah penerbit DBP Khalik Sulaiman menandatangani MoU berkenaan. – 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen